suria

Ahli Parlimen Pembangkang 'Serang' Noh

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar pada Selasa menjadi sasaran beberapa Ahli Parlimen pembangkang berikutan kenyataannya sebelum ini bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim 'layak' dipukul.

Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) sebelum itu pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat meminta penjelasan mengenai kenyataan Noh yang disifatkan seolah-olah menggalakkan tindakan kasar berkenaan.

Bagaimanapun apabila Noh menyatakan akan memberi jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan Fong, tindakannya itu mengundang reaksi Ahli Parlimen pembangkang lain dengan memanggilnya 'samseng'.

Namun Noh tetap meneruskan jawapannya dengan memaklumkan bahawa Ng telah melanggar undang-undang dengan mengadakan demonstrasi tanpa permit.

Noh sekali lagi 'dihujani' dengan jeritan pembangkang yang tidak berpuas hati dengan kenyataannya itu.

Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee kemudiaan mencelah dan mengingatkan menteri dan Ahli Parlimen bahawa isu berkenaan tiada kaitan dengan perbahasan berkenaan.

Namun beliau tetap gagal mengawal perbalahan tersebut yang berpanjangan hampir 15 minit.

Fong akhirnya sekali lagi bangun dan berkata: "Menteri telah memalukan Kabinet dengan sikap samseng.

"Dengar baik Yang Berhormat Menteri, mujurlah tidak ada rombakan Kabinet. Mengapa menteri kata ADUN Sekinchan 'layak' diperlakukan begitu? Mengapa menteri galakkan tindakan kasar seperti itu?"

Noh akhirnya menjelaskan bahawa beliau akan menyelesaikan isu berkenaan secara peribadi dengan Ng.

Ng dari DAP mendakwa ditumbuk oleh 30 orang yang disyakinya ahli Umno Tanjong Karang ketika bertemu dengan petani kawasan itu bagi mendengar rintihan tentang isu harga padi.

Bagaimanapun Noh sebelum ini menafikan dakwaan Ng kononnya aksi samseng di kampung Sawah Sempadan itu dilakukan oleh ahli Umno.

Artikel Sebelum

Artikel Lain