suria

Sederet Gerai Papan Enam Pintu Musnah Dalam Kebakaran

TAWAU: Sederet gerai papan enam pintu musnah dalam kebakaran di Jalan Pelabuhan di tengah-tengah pusat bandar Tawau kira-kira 10.20 pagi ini.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Pegawai Kanan Bomba dan Penyelamat Tawau Kamarudin Sabanah, ketika ditemui pemberita di tempat kejadian, berkata dua jentera dengan 12 anggota dikejarkan di tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan kira-kira 10.25 pagi.

Katanya sebaik tiba, keseluruhan gerai sudah pun terbakar.

Beliau berkata anggota bomba mengambil masa kurang dari 10 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke bangunan yang berhampiran.

Kamarudin berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.

Gerai yang dibina pada pertengahan tahun 70-an itu menyajikan pelbagai jenis makanan tempatan yang menjadi tempat tumpuan orang ramai termasuk pelawat dari negara jiran.

Seorang pekerja Norlelah Barjai, 16, yang ditemui Bernama berkata ketika kejadian, dia sedang menyiapkan barang-barang mentah untuk dimasak di gerai majikannya.

"Ketika asyik bekerja, saya terdengar satu letupan dari salah sebuah gerai di situ dan apabila saya keluar menjenguk, saya lihat api telah marak dengan cepat dan terus lari menyelamatkan diri," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain