KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya 174 kanak-kanak dan remaja yang dididik bawah program Permata Seni akan membuat persembahan pada 'Konsert Permata Seni: Menggilap Bakat Muda, Menyerlahkan Rentak Bangsa' di Istana Budaya pada 14 dan 15 Disember ini.Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, yang merupakan pengasas program itu berkata kanak-kanak dan remaja yang berusia antara enam dan 15 tahun tersebut dipilih berdasarkan bakat, keyakinan dan keterampilan untuk menyertai konsert 90 minit itu sejak Januari lagi. Bercakap dalam satu persidangan media di Istana Budaya di sini Isnin, Rosmah berkata konsert itu dibahagikan kepada tiga segmen iaitu segmen Permata Seni Tari yang menggabungkan lima koreografi tari pelbagai kaum, segmen Permata Seni Koir yang menampilkan lima seleksi lagu-lagu koir, dan segmen Permata Seni Muzik akan menampilkan empat susunan lagu secara orkestra atau solo klasikal.Beliau berkata persembahan gabungan ketiga-tiga segmen itu, iaitu tarian, nyanyian dan muzik merupakan acara kemuncak program Permata Seni di mana mereka akan menampilkan persembahan medley lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.Katanya konsert pada 14 Disember terbuka kepada orang ramai secara percuma dengan 1,300 pas akan diedarkan di Istana Negara pada 8 Disember ini, manakala persembahan pada 15 Disember pula adalah untuk tetamu khas dan jemputan sahaja.Rosmah berkata konsert yang diadakan buat julung kalinya itu merupakan kemuncak proses latihan dan bimbingan berterusan serta latihan intensif para perserta program sepanjang tahun.Peserta program yang dilancarkan pada 11 Januari lepas itu terbahagi kepada tiga program bimbingan iaitu Permata Seni Koir, Permata Seni Muzik dan Permata Seni Tari, dan mereka diberikan latihan berterusan sepanjang tahun seperti bengkel, kem muzik dan konsert jelajah untuk membimbing mereka ke arah kecemerlangan."Anak-anak yang berbakat dalam bidang seni ibarat kuntuman bunga yang belum mekar. Jadi mereka perlu digilap dengan baik, penuh komited, sistematik supaya bunga-bunga kita ini akan mekar dengan sebaik mungkin," kata Rosmah.Beliau berkata untuk itu program Permata mengambil langkah untuk menyediakan persekitaran yang kondusif bagi membentuk bakat mereka ke peringkat yang lebih cemerlang. - BERNAMA