KUALA LUMPUR: Warga negara asing yang menyambut Krismas di Malaysia hari ini, melahirkan rasa gembira kerana dapat menyambut perayaan itu dalam suasana aman, bebas dan penuh kesederhanaan.Tinjauan Bernama mendapati warga negara asing beragama Kristian terutamanya pembantu rumah dari Filipina bertumpu di St John Cathedral di Bukit Nanas di sini sewal pukul 7 pagi untuk upacara sembahayang. Sepertimana tahun sebelumnya kesempatan ini digunakan oleh sebahagian daripada mereka untuk menjual pelbagai barangan di perkarangan gereja Katholik itu sehingga suasana bagaikan sebuah pesta.Daniel Ansley, 50, warga negara Filipina yang datang ke Malaysia untuk melawat sahabat handai berkata walaupun sambutan Krismas di sini tidak semeriah di negaranya, namun masih gembira dapat merayakan perayaan tersebut dengan baik.Katanya, walaupun agama Kristian bukan agama yang dianuti oleh majoriti rakyat Malaysia, penganut agama lain sangat menghormati agama Kristian dan perayaan Krisman berjalan dengan amat baik.Austin Corcoran, 56, dari United Kingdom pula berpendapat, perayaan Krismas di negara ini sangat unik dan sedikit berbeza jika dibandingkan dengan negara asalnya.Beliau bersama isterinya Elizabeth yang pertama kali berada di negara ini berkata keunikan tersebut termasuklah penjaja di tepi jalan yang menjual barangan dan makanan sempena perayaan Krismas yang menurutnya sangat meriah."Perayaan di sini lebih sibuk dari Sheffield, UK di mana saya datang, kerana pada kebiasaannya orang tinggal di rumah dengan keluarga pada siang hari, mungkin kerana cuaca di sana semasa Christmas sangat sejuk," katanya.Elizabeth Greogio, 42, warga Malaysia yang telah menetap di Belanda sejak 30 tahun berkata, Malaysia merupakan sebuah negara yang sangat aman dan sentiasa mengalu-alukan kedatangan warga negara luar."Malaysia adalah sebuah negara bebas dan sangat indah dan saya gembira berada di sini untuk meraikan Krismas," katanya. - BERNAMA