suria

Ahli Politik Perlu Peka Adab Dan Susila Penganut Agama Lain - Jamil Khir

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata orang bukan Islam termasuk ahli politik tidak dihalang memasuki masjid tetapi adabnya seperti etika berpakaian perlulah dihormati.

Mengulas tindakan anggota Parlimen Serdang Teo Nie Ching yang berpakaian ketat ketika bersenamrobik di perkarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong, Selangor baru-baru ini, beliau berkata seorang ahli politik yang memahami pandangan masyarakat berhubung isu keagamaan seharusnya tidak melakukan tindakan yang boleh menyentuh perasaan penganut agama tersebut apatah lagi mengulangi perbuatannya.

"Memang tidak salah masuk ke masjid tapi adab susila harus dijaga. Saya lihat peristiwa berulang ini, seolah-olah tidak mempedulikan perasaan orang lain terutamanya Islam dan masjid.

"Pengalaman yang dilalui sebelum ini tak diambil langsung sebagai peringatan untuk beliau ambil tindakan sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta Larian Hijrah 1Malaysia 1Ummah peringkat Wilayah Persekutuan 1432H di sini, Ahad.

Nie Ching pernah sebelum ini mengundang rasa kurang senang masyarakat Islam apabila menyampaikan "ceramah" di dalam sebuah surau di Kajang Sentral, Kajang pada Ogos lalu.

Jamil Khir berkata Nie Ching perlu mengambil iktibar di atas tindakannya itu memandangkan banyak peringatan serta ulasan diberikan pelbagai pihak dan tidak hanya mengutamakan kepentingan politik semata-mata.

Katanya memang tiada halangan bagi penganut agama lain memasuki masjid terutamanya jika ia bertujuan mendekatkan diri dengan Islam namun mereka tetap tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan.

"Sebab itu di Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid Tuanku Mizan kita sediakan jubah dan tudung...sebab kita tahu (bukan Islam) boleh masuk dalam masjid. Boleh dibenarkan apatah lagi untuk tujuan mendekatkan (dengan Islam)," katanya.

Mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa Islam tidak melarang sebarang kegiatan termasuk senamrobik dilakukan dalam kawasan masjid asalkan kegiatan itu tidak bercanggah dengan syariat Islam, Jamil Khir berkata:

"Memang semua setuju tetapi sepatutnya semakin kita masuk ke dalam masjid tu semakin mendekatkan kita dengan Islam, semakin faham dengan Islam. Tapi apa yang berlaku ini terbalik, semakin masuk semakin nampak tak faham, semakin menyakiti orang lain."

Bagi mengurangkan rasa tidak puas hati masyarakat Islam berhubung tindakan Nie Ching, Jamil Khir berkata Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (Jais) akan memberi penjelasan kerana insiden itu berlaku di negeri tersebut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan