suria

12 GRO Warga Asing Ditahan Di Petaling Jaya

PETALING JAYA: Seramai 12 wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam satu serbuan polis di sebuah premis dua tingkat di Taman Bukit Mayang Emas di sini hari ini.

Wanita yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 40-an dan terdiri daripada warga Indonesia, Vietnam dan Thailand, kata Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed.

Beliau berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai polis, termasuk anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada kira-kira 4.30 petang tadi.

Beliau yang turut serta dalam serbuan itu berkata serbuan itu dibuat setelah menerima aduan dari penduduk di kawasan berkenaan.

"Premis itu berada dalam keadaan terkunci ketika diserbu dan hanya pelanggan tetap sahaja yang dibenarkan masuk. Kami menyerbu masuk selepas pemilik premis berkenaan leka dengan kunjungan pelanggan tanpa menyedari pergerakan mereka telah diperhatikan," katanya.

Arjunaidi berkata, premis berkenaan gelap dan hanya disinari dengan cahaya lampu neon yang dipasang di sudut dalam ruangan premis terbabit, dan pemeriksaan mendapati premis itu tidak mempunyai sebarang permit hiburan yang diluluskan dari pihak berkuasa tempatan.

Beliau tidak menolak kemungkinan premis berkenaan turut menawarkan khidmat seks ekoran penemuan ruangan khas yang menempatkan beberapa buah tilam.

Pusat hiburan yang terletak di bahagian atas premis bangunan kedai dua tingkat itu dilengkapi dengan sofa dan ruang minum bagi pelanggan dan GRO terbabit.

Katanya kesemua wanita asing itu dibawa ke IPD Petaling Jaya bagi proses dokumentasi dan siasatan lanjut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain