KOTA BAHRU: Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan maut apabila terjatuh ke dalam sebuah kolam ikan terbiar ketika ibunya sedang memasak dalam kejadian di Kampung Atas Banggol, Kok Lanas, dekat sini, Rabu.Ibu mangsa, Zurina Ismail, 39, berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 1 petang ketika anaknya, Mohd Danial Rozmi, ditingggalkan bermain seorang diri di ruang tamu rumahnya. "Masa tu saya tengah memasak, Mohd Danial tengah main kat ruang tamu, saya di dapur, tinggalkan dia bermain seorang diri dalam beberapa minit saja tetapi bila saya keluar semula ke ruang tamu saya tengok Mohd Danial dah tak ada," katanya."Saya terkejut apabila dengar jiran saya menjerit memanggil nama saya, dalam kekalutan saya menjengah keluar rumah dan melihat jiran menunjuk ke arah kolam yang terletak kira-kira empat meter dari rumah, sebelum ternampak Mohd Danial terapung di dalamnya," katanya.Zurina berkata dengan pertolongan jirannya beliau kemudian mendapatkan anaknya lalu bergegas ke Klinik Pulai Chondong, Machang untuk rawatan bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk bedah siasat. - BERNAMA