suria

Wakil Rakyat BN Akan Hadir Sidang Pinda Undang-Undang Tubuh Selangor

SHAH ALAM: Semua anggota dewan undangan negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Selangor akan hadir pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 pada Isnin ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Noh Omar berkata bagaimanapun kehadiran mereka adalah untuk menolak cadangan pindaan Perkara 52 itu.

"Kesemua 20 Adun BN dan seorang Adun Bebas yang mesra BN iaitu Badrul Hisham Abdullah bersetuju untuk hadir membahaskan pindaan itu sebagai menghormati perkenan Sultan Selangor," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Adun BN, di sini, Khamis.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bagaimanapun meragui pindaan tersebut dapat diluluskan kerana kerajaan negeri yang membawa usul itu kekurangan dua kerusi untuk memperolehi majoriti dua pertiga pada sidang DUN berkenaan.

"Ini bermakna pindaan undang-undang yang didakwa kerajaan negeri bagi mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-undang Negeri tidak boleh diluluskan tanpa sokongan BN," katanya.

DUN Selangor terdiri daripada 56 kerusi dan daripada jumlah itu kerajaan negeri mempunyai 35 wakil, 20 milik BN dan seorang wakil Bebas. Majoriti dua pertiga atau 37 undi diperlukan untuk meluluskan pindaan undang-undang tubuh negeri.

Cadangan pindaan itu dikemukakan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang didakwanya dilakukan tanpa merujuk kepada beliau selaku Menteri Besar.

Pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai SUK baru yang berkuatkuasa 1 Januari lepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan telah mengangkat sumpah jawatan serta sumpah taat setia di hadapan baginda pada 6 Januari.

Bagaimanapun beliau tidak dibenarkan hadir pada sebarang prosiding berkaitan kerajaan negeri kerana majlis angkat sumpah simpan rahsia di hadapan Menteri Besar belum dilakukan. - BERNAMA

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan