SHAH ALAM: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda Shuhaimi Shafiei mengesahkan telah menghantar surat memohon menghadap Sultan Selangor bagi memberi penjelasan dan memohon maaf berhubung kenyataannya menerusi satu laman blog. Shuhaimi berkata surat berkenaan dihantar secara serah tangan oleh wakilnya kepada pihak istana pagi ini. "Saya akan menunggu perkenan daripada pihak istana," katanya kepada emberita ketika ditemui semasa sidang Dewan Undangan Negeri Selangor berhenti rehat di sini, Isnin. Shuhaimi pada 12 Januari lepas memberitahu media beliau dalam proses membuat draf surat untuk memohon mengadap Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menjelaskan isu berhubung satu entri dalam blognya srimuda.blogspot.com yang didakwa menghina baginda. Setiausaha sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan pada 4 Januari lepas, berkata sindiran Shuhaimi yang menyatakan baginda seolah-olah sebagai "beraja di mata, bersultan di hati" adalah amat keterlaluan dan boleh mengelirukan rakyat. Shuhaimi bagaimanapun menafikan kenyataannya itu bertujuan menghasut rakyat dan menghina sultan. Entri kontroversi Shuhaimi itu adalah rentetan daripada rasa tidak puas hati kerajaan Selangor berhubung pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru. - BERNAMA