suria

24 Lebuh Raya Tawar Diskaun Sempena Tahun Baru Cina

KAJANG: Sebanyak 24 syarikat konsesi lebuh raya menawarkan diskaun kadar tol sempena sambutan Tahun Baru Cina Khamis ini berbanding 17 syarikat tahun lepas, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Pemberian diskaun tol itu adalah antara lima hingga 37.5 peratus pada Khamis dan Jumaat ini, katanya pada pelancaran kempen keselamatan jalan raya peringkat Kementerian Kerjaraya di Lebuh raya Kajang-Seremban (LEKAS) di sini, Isnin.

Teks ucapannya dibacakan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Thomas George.

Shaziman berkata, bilangan syarikat bertambah kerana mereka mulai sedar mengenai tanggungjawab sosial korporat kepada pengguna selain sebagai hadiah sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Menurutnya, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) memberikan diskaun sebanyak 20 peratus untuk pengguna kad "Touch N Go" dan PLUSMiles jika menggunakan lebuh raya itu mulai 7.01 pagi hingga 11.59 malam pada Khamis dan Jumaat ini.

"Pemegang kad yang menggunakan PLUS mulai 12 tengah malam hingga 7 pagi hari yang sama pula akan diberikan diskaun sebanyak 30 peratus," katanya.

Mengenai kempen keselamatan jalan raya itu, Shaziman berkata, ia adalah inisiatif Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan semua syarikat konsesi selain Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Kerja Raya.

"Kempen ini adalah untuk menjalin kerjasama bagi memastikan rondaan berterusan demi keselamatan pengguna jalan raya sepanjang sambutan Tahun Baru Cina," katanya.

Sementara itu, LLM dalam kenyataannya berkata, pengguna jalan raya boleh menggunakan pelbagai laluan alternatif yang disediakan untuk mengelakkan kesesakan ketika warga kota mula meninggalkan Kuala Lumpur untuk pulang ke kampung.

Sekiranya kesesakan berlaku di PLUS, pengguna boleh menggunakan laluan alternatif melalui LEKAS sama ada dari arah Utara mahupun Selatan, kata kenyataan itu. - BERNAMA

Artikel Lain