suria

Wartawan Malaysia Di Mesir Selamat - Shahlan

KUALA LUMPUR: Semua wartawan Malaysia yang membuat liputan proses pemindahan pelajar Malaysia dari Mesir berada dalam keadaan selamat walaupun ada antara peralatan seperti kamera dan perakam video mereka dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail, berkata pihak Imigresen Mesir merampas peralatan tersebut dari kru media elektronik dari TV3, Astro AWANI dan TV Al Hijrah sebaik sahaja tiba di lapangan terbang itu.

"Kemungkinan pihak berkuasa negara itu tidak mahu media asing membuat liputan mengenai pergolakan politik di negara itu," katanya, Sabtu.

Shahlan adalah antara beberapa pegawai dan pemimpin yang berada di negara itu bagi menguruskan perpindahan pelajar dan rakyat Malaysia yang terperangkap ekoran kebangkitan rakyat negara itu mendesak Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan.

Bagaimanapun, katanya, sebahagian besar kru stesen televisyen itu sudah mendapat kembali kamera dan perakam video mereka dan Kedutaan Malaysia di sini sedang berbincang dengan pihak berkuasa Mesir bagi mendapatkan semula barangan lain yang turut dirampas.

Antara insiden yang menimpa wartawan Malaysia di Mesir termasuk kejadian di mana wartawan TV3 dan Berita Harian ditahan sebanyak tiga kali pada Khamis lepas ketika menemuramah kumpulan pelajar Malaysia di lapangan terbang itu.

Mereka juga turut diacu pisau oleh sekumpulan lelaki bersenjata termasuk pistol ketika menaiki teksi dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan.

Selain itu, Shahlan juga memaklumkan bahawa beliau ada mendengar laporan mengenai kru wartawan yang menaiki van ditahan penduduk ketika melalui beberapa sekatan jalan sebelum mereka dilepaskan.

"Mereka ini, yang saya faham, dalam perjalanan pulang ke tempat tinggal mereka selepas perintah berkurung beroperasi dan sebab itu mungkin mereka ditahan," katanya.

Semalam, seramai 12 wakil media dan empat anggota Kelab Putra 1Malaysia ditahan lima pemuda tempatan yang membawa besi, kayu dan pelbagai jenis senjata pada pukul 10 malam waktu tempatan di lebuh raya bertingkat berhampiran Tahrir Square di Kaherah.

Sementara itu, Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, yang turut terlibat dalam proses pemindahan pelajar Malaysia, berkata sehingga kini kira-kira 4,000 daripada 9,639 pelajar telah dipindahkan ke pusat transit di Jeddah, Arab Saudi.-BERNAMA

Artikel Lain