suria

Yang Di-Pertuan Agong Teruja Naik Jet Pejuang Sukhoi

BUTTERWORTH: Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dibawa menaiki jet pejuang Sukhoi SU-30MKM Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sempena lawatan Seri Paduka ke Pangkalan TUDM di sini.

Pesawat yang membawa baginda itu berada di udara selama 45 minit untuk mengelilingi ruang udara Pulau Langkawi, Kedah dan Pulau Pinang pada kelajuan supersonik.

Jet itu dipandu Pegawai Memerintah 11 Skuadron Lt Kol Mohd Asghar Khan Gauriman Khan dan diiringi sebuah lagi pesawat pejuang TUDM jenis FA/18D Hornet.

Panglima TUDM Jen Tan Sri Rodzali Daud memberitahu pemberita bahawa Tuanku Mizan telah menyatakan kepada beliau bahawa baginda gembira dan teruja dengan pengalaman itu.

Terdahulu, keberangkatan tiba Seri Paduka di pangkalan itu disambut oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Azizan Ariffin dan Rodzali.

Sebaik tiba, Tuanku Mizan memeriksa kawalan kehormatan utama sebelum diberi taklimat mengenai pesawat Sukhoi SU-30MKM oleh Rodzali.

Baginda mengakhiri lawatan dengan mengunjungi Pusat Simulator Pejuang dan pameran statik pesawat pejuang sebelum berangkat pulang pada 2 petang.

Artikel Lain