suria

Warga Emas Singapura Dijumpai Mati Dengan Muka Berbalut Plastik

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga Singapura ditemui mati dengan muka dibaluti plastik lutsinar di sebuah hotel di Jalan Tebrau, di sini Rabu.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata mayat Kong Soon Chay, 63, ditemui petugas hotel yang pergi ke bilik mangsa kira-kira pukul 6 petang setelah lelaki tersebut gagal dihubungi.

"Petugas tersebut menghubungi mangsa untuk bertanya sama ada mangsa ingin menyambung penginapan selepas mangsa didapati tidak mendaftar keluar, namun panggilan tersebut tidak berjawab," katanya ketika dihubungi, di sini Khamis.

Petugas itu yang berasa curiga kemudian ke bilik Kong dan membuka pintu bilik menggunakan kunci pendua kunci pendua sebelum menemui mayat lelaki tersebut terbaring di atas lantai, katanya.

Zainuddin berkata Kong mendaftar masuk ke hotel berkenaan seorang diri pukul 6.22 petang pada petang Selasa.

Mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk dibedah siasat dan polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain