suria

Waspadalah, di mana-mana orang menipu...

APAKAH nilai kepercayaan sesama manusia akan luntur akibat daripada penipuan demi penipuan yang sedang melanda masyarakat kita?

Baru-baru ini penulis telah menerima panggilan telefon daripada rakan persekolahan penulis. Dia mengadu telah ditipu. Yang lebih menghairankan lagi katanya ialah, dia seolah-olah seperti dipukau dengan tawaran kontrak menarik sehingga sanggup menyerahkan wang tunai RM50,000 kepada seorang yang bukan sahaja tidak dikenalinya tetapi belum pernah ditemuinya sepanjang hayat.

Ceritanya lebih kurang begini. Pada bulan Disember tahun lalu, seorang kenalan telah menceritakan kepadanya betapa seorang pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang mahu menghabiskan kuota perbekalan bagi jabatan tersebut sebelum masuk tahun baru. Kontrak itu bernilai berjuta ringgit tetapi mesti dihabiskan sebelum 31 Disember 2010. Ia adalah kontrak membekalkan baja-baja ke seluruh sekolah menengah dan rendah di negeri Pulau Pinang.

Kawan penulis yang kebetulan menjalankan perniagaan membekalkan baja sangat tertarik dengan kontrak tersebut. Dia mahu mencuba nasib dan menurut kenalannya itu, dia boleh memberi nombor telefon pegawai kanan pejabat Jabatan Pelajaran Negeri yang mengendalikan proses tender berkenaan.

Tanpa berfikir panjang rakan penulis ini pun membuat temujanji dengan pegawai berkenaan menerusi nombor telefon bimbit yang diberikan oleh kenalannya itu tetapi sehari demi sehari temujanji tersebut tidak dapat berlangsung sebagaimana yang dijanjikan kerana pegawai itu sibuk sedangkan tempoh untuk melaksanakan projek berkenaan semakin hari semakin hampir dengan waktunya.

Akhirnya, mereka bersetuju untuk bertemu tetapi pegawai itu menetapkan satu syarat.

Oleh kerana projek itu perlu disegerakan dalam tempoh tidak sampai beberapa hari sahaja lagi sebelum tamat tempoh luputnya, rakan penulis ini perlulah berkorban sedikit. Korban yang perlu dilakukan olehnya ialah dengan menghulurkan wang komisen kepada pegawai berkenaan.

Oleh kerana terlalu mengharapkan projek yang bernilai berjuta ringgit itu tanpa perlu melalui proses tender, rakan penulis sanggup mengambil risiko tersebut. Jumlah yang diminta bukan sedikit iaitu RM50,000 tetapi pegawai berkenaan berjaya menyakinkan rakan penulis, apalah ada pada RM50,000 yang perlu dikorbankan itu jika dibandingkan dengan projek bernilai berjuta ringgit yang bakal diperolehinya itu.

Termakan dengan kata-kata itu, rakan penulis pun bersetuju untuk berjumpa dengan pegawai berkenaan. Penulis bertanya kepadanya apakah yang menyakinkannya yang itu bukan satu penipuan. Katanya, pertemuan tersebut dijadualkan berlaku di lobi bangunan Jabatan Pelajaran Negeri. Walaupun mereka tidak pernah bertemu dan bersua muka tetapi rakan penulis percaya habis yang pegawai itu benar-benar wujud kerana pertama mereka telah bercakap melalui telefon dan kedua pertemuan diaturkan berlangsung di lobi sebuah jabatan kerajaan.

Maka pada hari yang ditetapkan, kawan penulis pun pergilah ke Jabatan Pelajaran Negeri di Bukit Gambir, Pulau Pinang untuk bertemu dengan pegawai berkenaan. Setibanya dia di situ, dia pun menelefon pegawai berkenaan. Pegawai itu meminta dia menunggu di lobi buat seketika kerana sedang berada di dalam bilik pengarah pelajaran negeri.

Ini lebih menyakinkan kawan penulis yang projek tersebut benar-benar akan mengambil tempat sebagaimana yang dijanjikan.

Tidak lama kemudian pegawai tersebut dalam nada yang tergesa-gesa berkata, dia masih sibuk dengan pengarah dan akan meminta seorang pegawai wanita turun untuk menyerahkan bank deraf sebagai bayaran permulaan kepada baja yang akan dibekalkan itu dan meminta rakan penulis menyerahkan bungkusan wang tunai RM50,000 kepada pegawai wanita berkenaan.

Lima minit selepas itu, seorang wanita menelefon telefon bimbit kawan penulis dan berkata dia sekarang berada di lobi. Mereka pun bertemu dan proses pertemuan itu tidak sampai lima minit pun. “Urus niaga” pun berlangsung. Wang tunai diserahkan dan bank deraf itu pun diserahkan. Masing-masing berjabat tangan dan beredar dari situ.

Dan apabila kawan penulis ke bank untuk menunaikan bank deraf tersebut, pihak bank memaklumkan bahawa bank deraf itu adalah palsu. Mendengar berita tersebut, kawan penulis seperti hendak jatuh pengsan. Dia terkulai longlai di lobi bank berkenaan sehingga terpaksa dipapah keluar oleh isterinya. Wang RM50,000 itu adalah wang simpanan hasil lelah perniagaannya selama ini dan kini wang itu lesap bersama-sama pegawai Jabatan Pelajaran Negeri yang tidak pernah dia temui itu.

Dia pening memikirkan bagaimana hendak mendapatkan semula wangnya yang telah lesap itu. Dia cuba menelefon pegawai itu beberapa kali termasuklah pegawai wanita yang menemuinya di lobi tersebut tetapi yang berbunyi ialah suara mesin yang menjawab "nombor telefon yang anda dail tiada dalam perkhidmatan".

Selama seminggu dia demam tidak dapat bangun dan tidak berselera untuk menjamah apa-apa kerana mengenangkan peristiwa ditipu itu. Pihak polis juga berhadapan dengan kesukaran untuk menjejaki penipu-penipu berkenaan kerana kawan saya tidak dapat memberikan lakaran wajah pegawai dan wanita yang menipunya itu.

"Macamana hang boleh terperangkap dalam penipuan yang sangat jelas ni Nuar," tanya penulis. "Entahlah...aku teruja dengan projek bernilai berjuta ringgit tu dan aku macam kena pukau dan boleh serahkan wang aku bulat-bulat tanpa memikirkan yang itu adalah satu penipuan...aku harap hang dapat tulis cerita malang aku ni sebagai pengajaran kepada para pembaca yang lain," katanya sambil menegaskan "Jangan ingat di premis kerajaan tidak berlaku penipuan". Ya, penipuan berlaku di mana-mana dan ini mengingatkan penulis kepada satu lagi cerita lain yang berlaku pada bulan Januari lalu yang turut menyaksikan seorang lagi ahli perniagaan ditipu tapi kali ini lagi teruk daripada kawan penulis kerana kerugian yang dia tanggung adalah sehingga RM1.7 juta.

Peristiwa yang berlaku di Kuantan itu menyaksikan seorang pengarah syarikat kerugian RM1.7 juta setelah ditipu seorang lelaki yang menyamar juga sebagai pegawai di sebuah agensi kerajaan iaitu Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Pahang dengan menawarkan tanah seluas lebih 3,000 hektar di beberapa daerah di Pahang untuk dimajukan.

Mangsa yang berusia 67 tahun mula dihubungi seorang lelaki yang mengaku sebagai Ketua Penolong Setiausaha Pelaburan UPEN sejak penghujung Disember tahun lepas. Suspek menggunakan identiti pegawai UPEN yang sebenar dan menawarkan empat kawasan tanah pajakan untuk tujuan pertanian dan perlombongan.

Lelaki yang menyamar itu menawarkan empat tanah pajakan seluas 20.2 hektar di kawasan Gebeng; Rompin (2,630.4 hektar); Raub (260.2 hektar) dan Lipis (429.8 hektar) yang kononnya dimiliki oleh Perbadanan Setiausaha Negeri Pahang. Lelaki terbabit kemudian meminta sejumlah wang daripada mangsa bagi memproses tawaran berkenaan.

Mangsa kemudian membuat lima kali bayaran tunai yang diambil sendiri suspek di kawasan tempat letak kereta dan lobi bangunan Wisma Sri Pahang di sini dan dua lagi bayaran kepada wakil perantara yang dilantik oleh suspek di kawasan yang sama.

Sepanjang urusan itu, mangsa telah membayar RM1.2 juta dalam bentuk wang tunai sementara RM450,500 dibayar melalui bank deraf di atas nama Tabung Amanah Perbadanan Setiausaha Negeri Pahang.

Mangsa hanya disedari ditipu selepas dia dihubungi lelaki terbabit yang meminta tambahan wang sebanyak RM500,000 bagi urusan berkenaan. Mangsa yang mula curiga dengan urusan berkenaan telah pergi ke pejabat UPEN yang terletak di Wisma Sri Pahang untuk bertanyakan mengenai kesahihan tuntutan wang tambahan tersebut namun, sebaik menemui pegawai yang sebenar, dia dimaklumkan tiada sebarang tawaran seperti itu dikeluarkan oleh pihak UPEN.

Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan polis kini mengesan tiga individu untuk membantu siasatan.

Jelas sekali modus operandi penipuan ini tidak jauh beza dengan kes kawan penulis. Kedua-duanya menyamar sebagai pegawai kerajaan dan urusan penipuan itu dilakukan di lobi jabatan berkaitan sebagai bukti untuk menyakinkan mangsa yang mereka sedang berurusan dengan pegawai-pegawai kerajaan yang tidak mungkin akan menipu. Malah dalam kes rakan penulis itu, penipu berkenaan menggunakan alasan hujung tahun yang semakin hampir dan pejabat kerajaan perlu dengan segera membelanjakan wang peruntukan jabatan sebagai satu peluang untuk mencipta penipuan. Dan mereka yang ingin kaya cepat mudah terpedaya dengan tipu helah ini.

Hakikatnya bukan pegawai kerajaan yang menipu sebaliknya yang menipu ialah orang awam yang menyamar sebagai pegawai kerajaan. Mereka menggunakan nama baik dan imej luhur kakitangan kerajaan untuk mengaut keuntungan hasil daripada penipuan mereka ini. Kepada semua yang berpeluang membaca dua kisah ini, berwaspadalah.

Janganlah dengan senang menyerahkan wang hasil penat lelah anda membanting tulang empat kerat bekerja mencari rezeki kepada laknat-laknat durjana ini hanya kerana anda inginkan keuntungan segera. Hakikatnya juga tidak ada jalan pintas dalam dunia ini untuk jadi kaya raya.

Peringatan Bank Negara...

Pada 9 Februari lalu, penulis telah menerima sepucuk surat daripada Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Abu Hassan Aishari Yahaya yang mengingatkan akhbar penulis supaya berhati-hati ketika menggunakan istilah ‘bank’ dalam mana-mana tulisan atau artikel yang kami siarkan. Ini ekoran laporan kami pada 23 Januari lalu bertajuk “Misi Angkasa Wujudkan Koperasi Perbankan”.

Menurut surat yang dikirim oleh pejabat penolong gabenor itu, BNM ingin menyatakan bahawa Seksyen 15 Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 melarang mana-mana organisasi menggunakan perkataan “bank” atau apa-apa perkataan lain yang boleh ditafsirkan sebagai menjalankan perniagaan perbankan atau membuat sebarang representasi yang membawa kepada tafsiran tersebut tanpa kebenaran bertulis daripada Menteri Kewangan.

Menurut kenyataan itu lagi, larangan ini adalah bagi memastikan orang ramai tidak keliru dan mempercayai bahawa organisasi tersebut merupakan bank berlesen di bawah Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 atau Akta Bank Islam 1983.

"Bank Negara Malaysia juga ingin menegaskan bahawa mana-mana koperasi yang bercadang untuk menubuhkan bank koperasi akan tertakluk kepada proses penilaian yang ketat oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Bank Negara Malaysia. Proses penilaian itu termasuk usaha wajar (due diligence) terhadap keupayaan kewangan, tadbir urus, pengurusan risiko dan kecekapan operasi.

"Penilaian ini merupakan prasyarat bagi mempertimbangkan permohonan untuk menggunakan perkataan "bank" oleh sesebuah koperasi. Sementara menunggu hasil penilaian ini, mana-mana institusi yang berkaitan hendaklah mengelak daripada membuat sebarang rujukan berhubung dengan penubuhan bank koperasi," demikianlah tegas kenyataan yang dikeluarkan oleh BNM. Dengan itu, kami mengambil maklum...

Artikel Berikut

Artikel Lain