KUALA LUMPUR: Lebih 200 anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Lembah Pantai pada Ahad keluar dari parti berkenaan dan menubuhkan Persatuan Gerakan Semangat 1Malaysia (SESAMA), sebuah pertubuhan bukan kerajaan pelbagai kaum, yang menyokong Barisan Nasional(BN).Bekas Naib Ketua Penerangan PKR cabang Lembah Pantai Raymond Suppiah, yang mewakili semua anggota berkenaan, berkata keputusan itu dibuat setelah tidak berpuas hati dengan kepimpinan Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar serta kepimpinan tertinggi PKR. "Keputusan ini diambil secara rela hati. Kami tidak puas hati terhadap Nurul Izzah dan pemimpin pusat. Banyak sebab juga kami tak puas hati seperti (Anggota Parlimen Padang Serai) N.Gobalakrishnan beritahu tiada keistimewaan bagi kaum India dalam PKR," katanya kepada pemberita di Brickfields di sini.Beliau berkata keputusan menyokong BN dibuat atas dasar parti komponen yang mewakili pelbagai kaum itu telah banyak membantu semua kaum di negara ini.Menyentuh mengenai SESAMA, Raymond yang menyertai PKR sejak penubuhannya kira-kira 12 tahun lepas, berkata pihaknya masih menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS).Beliau yang juga Presiden SESAMA berkata kira-kira 400 orang bersetuju menyertai SESAMA setakat ini dan menyasarkan untuk mendapat 4,000 anggota baru menjelang akhir Mac ini.Menurutnya SESAMA akan memberi tumpuan kepada kebajikan dan pembasmian kemiskinan selain mengeratkan hubungan silaturrahim masyarakat pelbagai kaum di Lembah Pantai.Sementara itu, bekas Ketua Biro Kebajikan dan Masyarakat PKR Lembah Pantai M. Parthiban, yang dilantik sebagai Timbalan Presiden SESAMA, berkata beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya menerusi e-mel kepada Nurul Izzah dua minggu lepas."Dia (Nurul Izzah) tidak membalas e-mel saya cuma dia hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) beritahu dia kenang jasa saya," katanya yang menyertai PKR kira-kira 12 tahun lepas.- BERNAMA