KUALA LUMPUR: Sebanyak 20 daripada 40 gerai makan di Taman Greenwood, Gombak musnah dalam satu kebakaran malam tadi.Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Zakaria Aini berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 9.51 malam dan tiba lapan minit kemudian. "Sebanyak 27 anggota dan empat jentera dari Balai Bomba Pusat Gombak Selatan dan Selayang terlibat dalam memadamkan kebakaran," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.Beliau berkata bomba dapat memadamkan kebakaran kira-kira pukul 11.07 malam."Tiada kemalangan jiwa berlaku dan punca serta kerugian masih dalam siasatan," katanya. Sementara itu, menurut seorang daripada pemilik gerai yang musnah, Maimunah Jamaludin, 45, berkata kira-kira pukul 8 malam, beliau ternampak api sudah marak di kedai sebelahnya."Mujur pada waktu itu, tidak ramai pelanggan dan masing-masing berjaya menyelamatkan diri," katanya. -BERNAMA