suria

ADUN Baru Merlimau Dijangka Angkat Sumpah Isnin Ini - Speaker DUN Melaka

JASIN: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Merlimau yang akan dipilih pada pilihan raya kecil kawasan itu pada Ahad, dijangka mengangkat sumpah Isnin ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Othman Muhamad berkata upacara angkat sumpah itu dijangka diadakan sebelum perasmian Persidangan Pertama Penggal Keempat DUN Melaka Ke-12 pada 10 pagi hari tersebut.

"Notis untuk persidangan DUN telah diserahkan kepada semua Adun kira-kira sebulan lepas," katanya kepada pemberita di Pusat Gerakan Barisan Nasional (BN) di Merlimau di sini, Sabtu.

Othman berkata beliau akan menyerahkan notis mengangkat sumpah dan menghadiri persidangan DUN kepada Adun baru Merlimau selepas menerima surat keputusan rasmi pilihan raya kecil itu daripada Suruhanjaya Pilihan Raya.

Beliau menjangkakan surat keputusan rasmi itu akan diterimanya selepas pengumuman keputusan pilihan raya kecil itu malam Ahad dan menurutnya majlis angkat sumpah itu adalah yang terpantas dalam sejarah DUN Melaka.

"Kira-kira 12 jam selepas umum Adun baru Merlimau, kita adakan angkat sumpah, selalunya kira-kira sebulan selepas pilihan raya di Melaka baru angkat sumpah, saya sudah rujuk semua peraturan dan tiada apa-apa halangan kita berbuat demikian," katanya.

Katanya persidangan DUN Melaka selama empat hari sehingga Khamis depan akan dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan menurutnya sebanyak 93 soalan bertulis, 99 soalan lisan dan dua usul akan dibentangkan pada persidangan itu.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) Roslan Ahmad, 44, ditentang calon PAS Yuhaizad Abdullah, 38, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 56, dari BN pada 20 Januari lepas akibat serangan jantung. - BERNAMA

Artikel Lain