suria

Warga Peru Telan Kokain Bebas Tuduhan Mengedar

SHAH ALAM: Seorang warga Peru yang menelan 88 paket kokain dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah selepas didapati berlaku kelompangan dalam rantaian bukti mengenai cara penyimpanan dadah tersebut.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu pada Jumaat, selepas mendapati tiada keterangan yang dapat membuktikan kawalan pada dadah yang dikeluarkan dari badan Aroldo Giron Valencia.

Akhtar berkata, beliau percaya dadah itu dikeluarkan dari badan Aroldo, 35, di Hospital Serdang, dekat sini kerana proses tersebut disaksikan oleh pegawai penyiasat (IO).

Proses pengeluaran dadah mengambil masa selama empat hari dan dilakukan sebanyak 13 kali.

“IO memberitahu beliau diberikan sebuah bilik di hospital itu, tetapi tiada keterangan jika pintu bilik tersebut boleh dikunci,” katanya.

Pada penghakimannya, Akhtar juga berkata, beliau tidak dapat menerima berat dadah yang diberikan oleh ahli kimia disebabkan kelemahan yang berlaku dalam sampel perolehan.

Beliau menambah, keterangan yang ada juga menunjukkan bahawa ahli kimia terbabit bukanlah seorang pakar dalam dadah jenis kokain.

“Oleh itu, saya mendapati pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan prima facie bagi tuduhan mengedar.

“Namun demikian, mengambil kira seluruh keterangan, saya mendapati tertuduh memiliki dadah tersebut semasa pengeluaran dilakukan di hospital,” katanya.

Justeru itu, Akhtar dengan menggunakan budi bicara mahkamah, meminda pertuduhan mengedar kepada pertuduhan memiliki, yang mana Aroldo mengaku bersalah.

Berdasarkan pertuduhan pindaan, dia didakwa memiliki dadah sebanyak 88 paket di Hospital Serdang, pada 21 Oktober 2006.

Dia pada asalnya didakwa bagi pertuduhan mengedar kokain seberat 451.4 gram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dekat sini pada pukul 5.45 pagi, 17 Oktober 2006.

Semasa itu, Alroldo tiba di negara ini menerusi penerbangan dari Buone Aires, Argentina.

Perbicaraan melibatkan keterangan 13 saksi pendakwaan.

Sementara itu, pada rayuan peringanan hukuman, peguam Kamarul Hisham Kamaruddin memberitahu, Alroldo diperdayakan oleh sindiket pengedaran dadah untuk melakukan kesalahan itu.

“Dia mempunyai tanggungjawab yang berat, iaitu seorang isteri yang tidak bekerja dan tiga orang anak berusia 14, 10 dan empat bulan,” tambah beliau.

Akhtar kemudiannya memerintahkan supaya Alroldo menjalani hukuman penjara selama tempoh dia ditahan reman, yang bermula sejak tarikh dia ditangkap.

Sehingga Jumaat, Alroldo telah meringkuk di penjara selama empat tahun, empat bulan dan 22 hari.

Sebaik sahaja mendengar hukuman itu, Alrondo terus memeluk seorang jurubahasa Peru dan Kamarul Hisham.

“Saya sangat gembira. Saya mahu pulang ke pangkuan keluarga,” katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan