suria

Dakwaan Palsu, AirAsia Buat Laporan Polis, SKMM

KUALA LUMPUR: AirAsia pada Rabu menasihati orang ramai supaya mengenepikan pesanan bersifat hasad dengki yang tersebar di dalam Twitter, Facebook atau melalui rantaian SMS, yang membuat dakwaan palsu bahawa salah satu penerbangannya (yang disifatkan sebagai AK5154 atau AK5145) telah terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching atau di KLIA pada Ahad.

"Kami telah melaporkan mengenai pengedaran pesanan itu kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kerana ia menyebabkan kecemasan yang tidak sepatutnya di kalangan orang ramai dan gangguan kepada operasi kami," kata syarikat penerbangan tambang murah itu di dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

AirAsia berkata ia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang tegas dan memulakan tindakan sivil atau jenayah terhadap individu atau kumpulan yang menyebar pesanan yang salah dan berhasad dengki berkaitan syarikat itu, khususnya berkaitan keselamatan.

"Bagi mengelak diheret ke mahkamah, kami menasihati mana-mana orang dari mereka, menyebarkan, mengulangi, dan/atau mengedar maklumat yang dia sedari salah atau memfitnah AirAsia," katanya.

Syarikat penerbangan itu menasihati orang ramai supaya merujuk rangkaian komunikasi rasmi AirAsia jika mereka mempunyai pertanyaan berkaitan operasinya melalui facebook.com/airasia, twitter.com/airasia, airasia.com/ask atau pusat penggilannya di 600 85 9999 (talian premium). -BERNAMA

Artikel Lain