KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempertimbang usaha untuk memperluaskan Program Pendidikan Menengah Tinggi Permata Pintar ke seluruh institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu.Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata program itu, yang kini hanya diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, diharapkan dapat diperluaskan ke seluruh IPT sekiranya kewangan negara mencukupi. "Memang menjadi hasrat kerajaan untuk memperluaskan Program Pendidikan Menengah Tinggi Permata Pintar ke seluruh IPT, tetapi ia bergantung kepada kewangan negara," katanya menjawab soalan tambahan Matulidi Jusoh (BN-Dungun). Matulidi ingin tahu sama ada Sekolah Permata Pintar akan ditubuhkan dan kerajaan akan mempertimbangkan untuk memperluaskan Program Pendidikan Menengah Tinggi Permata Pintar ke seluruh IPT dalam negara.Matulidi dalam soalan asalnya mahu kerajaan menyatakan jumlah pelajar tingkatan empat yang mendaftar dalam Program Pendidikan Menengah Tinggi Permata Pintar UKM serta keistimewaan dan matlamat pengajian tersebut.Nazri berkata Sekolah Permata Pintar, yang bertujuan menempatkan pelajar yang dikenal pasti sebagai pelajar pintar cerdas melalui Program Pendidikan Menengah Tinggi Permata Pintar UKM, kini sedang dibina.Menjawab soalan asal Matulidi, beliau berkata seramai 116 pelajar pintar Tingkatan Empat telah mendaftar dalam Program Pendidikan Menengah Tinggi Permata Pintar UKM."Secara umumnya, matlamat program itu bertujuan melahirkan pemikir beradap yang berkeyakinan, mempunyai nilai kepimpinan tinggi, kreatif, inovatif dan berjati diri kebangsaan di persada antarabangsa," katanya. -BERNAMA