SEPANG: Kumpulan pertama seramai 10 rakyat Malaysia termasuk dua wanita mengandung, seorang daripadanya sudah cukup bulan untuk melahirkan, tiba dari Yaman malam Jumaat, di bawah langkah kerajaan memindahkan warga Malaysia keluar dari negara yang sedang bergolak itu.Mereka tiba dengan pesawat Qatar Airways pada jam 9.01 malam Jumaat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini. Rata-rata mereka kelihatan sayu apabila disambut ahli keluarga masing-masing, manakala yang tidak disambut ahli keluarga pula disediakan pengangkutan dan penginapan sementara di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang.Pelajar Universiti Al-Iman, Balqis Sabarudin, 32, ketika ditemui pemberita berkata beliau bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana bertindak membawa pulang rakyat Malaysia di sana lebih awal sebelum keadaan menjadi lebih buruk.Walaupun kediaman mereka agak jauh dari tempat rusuhan dan keadaan juga masih agak terkawal berbanding Mesir, beliau yang kini mengandung sembilan bulan tetap bimbang akan keadaan mereka sekeluarga termasuk suami dan anak berusia 16 bulan."Saya hanya menunggu masa untuk melahirkan sedangkan keadaan di hospital agak kelam-kabut merawat mereka yang cedera dalam rusuhan," katanya.Pelajar tahun tiga Universiti Sains dan Teknologi Yaman, Mohd Shahril Abdul Samad, 23, berkata beliau lebih risaukan keadaan isterinya yang mengandung empat bulan dalam keadaan kacau-bilau itu."Kediaman kami hanya 200 meter dari kawasan tunjuk perasaan itu, kadangkala kami dapat dengar bunyi tembakan."Mujurlah kerajaan memindahkan kami ke rumah Persatuan Pelajar Malaysia Yaman yang lebih selamat empat hari sebelum ini, dan kemudian menanggung kami pulang ke Malaysia," katanya. -BERNAMA