KLANG: Seorang bekas pramugara dan dua warga Nepal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan menculik seorang pengarah syarikat keselamatan dan meminta tebusan sebanyak 10 jongkong emas bernilai RM1.44 juta, pada awal bulan ini.C. Rudhra, 37, dari Taman Klang Utama di sini, dan dua buruh warga Nepal, R. Roshan dan T.J.Ramesh, kedua-dua berusia 29 tahun, didakwa menculik A.Kanapathy, 64, di kawasan berhampiran Restoran Pulau Ketam, Persiaran Raja Muda Musa di sini, pada pukul 9.30 pagi, 7 Mac lepas. Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika savit kesalahan.Tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh di hadapan Majistret Liew Horng Bin.Majistret kemudian menetapkan 25 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Iskandariah Md Tahir manakala hanya Rudhra diwakili oleh peguam K.S.Rathakrishnan. -BERNAMA