suria

Anak Pesara Polis Ke Tali Gantung Kerana Edar Ganja

SHAH ALAM: Seorang anak pesara polis dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar ganja sebarat 2.3 kilogram, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Rahim Uda berkata tertuduh Mohamad Hasnizam Hussein, 33, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dia juga memerintahkan Mohamad Hasnizam, penasihat tuntutan insurans, menjalani hukuman penjara dua tahun atas satu lagi tuduhan memiliki 10.52 gram ganja.

Dalam penghakimannya, beliau berkata pembelaan tertuduh bahawa dia tidak mengunci mangga di pintu jeriji rumahnya semasa kejadian adalah bersifat penafian semata-mata.

Sebaliknya, Abdul Rahim berkata mahkamah menerima keterangan pihak polis bahawa mereka terpaksa memecahkan mangga di pintu jeriji rumah tertuduh.

Beliau berkata mangga itu juga sudah dikemukakan ke mahkamah sebagai bahan bukti.

Berdasarkan keterangan saksi, polis menemui beg berisi dadah tersebut yang dicampak dari balkoni rumah yang didiami tertuduh ketika melakukan serbuan.

Mohamad Hasnizam didakwa melakukan kesalahan itu di rumah beralamat D-2-11, Seksyen 8, Kota Damansara dekat sini, kira-kira pukul 1 pagi, 14 Februari 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mohamad Hasnizam yang memiliki diploma dalam bidang kejuruteraan turut didakwa atas satu lagi pertuduhan memiliki 10.52 gram ganja di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6 ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman denda RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan, seramai lima saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sementara pembelaan mengemukakan tiga orang saksi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fadhli Mat Sutris sementara Mohamad Hasnizam diwakili peguam Salim Bashir.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain