KUALA LUMPUR: Bumiputera abad ke-21 perlu menjadikan pembinaan keupayaan dan kemahiran sebagai mercu tanda baru bagi memanfaatkan peluang yang ada berbanding terperangkap dengan polemik hak yang tidak berkesudahan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.Perdana Menteri berkata Bumiputera abad ke-21 wajib dipersediakan untuk eranya dan penumpuan terhadap hak tanpa mengoptimumkan peluang yang terbit daripada hak itu adalah sikap yang merugi dan membazirkan bukan sahaja kepada individu terbabit tetapi juga kepada kaum Bumiputera secara keseluruhannya. "Inilah yang berlaku misalnya apabila kerajaan memperuntukkan sejumlah saham bernilai RM54 bilion kepada syarikat-syarikat dan individu-individu Bumiputera tetapi akhirnya yang tinggal kekal menjadi pegangan individu dan syarikat Bumiputera persendirian hanyalah dalam lingkungan RM2 biliona," katanya awmA berucap pada majlis Anugerah ICT Persatuan Industri dan Usahawan ICT Bumiputera Malaysia (NEF)-Awani di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Khamis.Najib berkata banyak pihak akan marah apabila dihadapkan dengan fakta itu tetapi, menurut beliau, untuk mula menyelesaikan sebarang masalah "kita perlu mengenal pasti apakah masalah yang perlu ditangani.""Bumiputera harus menjadi kaum yang berdaya tahan dan mampu mencipta serta mencipta semula diri bagi setiap situasi," katanya.Perdana Menteri berkata kaum Bumiputera juga harus berbangga dengan hasil kerja dan pencapaian mereka serta tidak takut untuk belayar dalam perairan yang tidak atau belum lagi diterokai."Kita tidak mahu kaum Bumiputera dilihat sebagai kaum yang meminta-minta, kita tidak rela dilihat sebagai kaum yang cepat berpuas hati dan suka berada dalam zon selesa."Pertarungan hari ini adalah pertarungan minda dan kemahiran. Siapa yang berilmu, siapa yang menguasai maklumat, dialah kudrat yang mempengaruhi persekitaran. Oleh itu, janganlah kita mengambil jalan mudah dengan bersifat dogmatik dan berpuas hati dengan bentuk berbanding isinya," kata Najib.Perdana Menteri berkata pada Khamis negara berada di satu persimpangan kritikal iaitu melakukan perubahan yang bersifat lonjakan berganda melibatkan soal struktural, institusi, dasar dan cara kerja atau melaksanakan perubahan bersifat tempelan dan berdikit lantas berisiko menjadi sebuah negara gagal."Cabaran mutakhir adalah lebih besar kerana kita perlu menghadapi semua ini dengan memastikan keadilan serta kestabilan sosial tanpa menakutkan mana-mana pihak sekalipun," katanya.Katanya beliau yakin tidak ada mana-mana pihak dapat menafikan mengenai transformasi yang telah merubah landskap ekonomi negara sepanjang 50 tahun yang lalu.Najib berkata daripada sebuah negara pertanian yang bergantung kepada eksport komoditi hari ini, asas ekonomi Malaysia telah berjaya dipelbagaikan dengan sektor perkhidmatan moden dan pembuatan kini telah menjadi sektor dominan ekonomi negara.Menurutnya segala kejayaan yang dicapai 50 tahun yang lalu bersifat luar baisa apabila pertumbuhan ekonomi dan penciptaan kekayaan telah berjaya diselarikan dengan kewujudan keadilan sosial melalui prinsip pengagihan kekayaan yang adil."Hasilnya kemiskinan diturunkan dengan drastik dan negara telah berubah dari sebuah negara berstatus berpendapatan rendah menjadi sebuah negara berpendapatan sederhana tinggi," katanya.Majlis yang disiarkan secara langsung oleh saluran televisyen Astro Awani adalah sebagai pengiktirafan bagi kecemerlangan syarikat-syarikat industri teknologi dan komunikasi (ICT) yang telah memberi impak dalam kehidupan rakyat Malaysia berbilang kaum dan juga sebagai pengiktirafan kepada usahawan tekno Bumiputera yang berjaya.Sebanyak 13 anugerah disampaikan oleh Perdana Menteri kepada pemenang."Saya amat berbangga kerana negara kita mempunyai asas yang kukuh dalam pelbagai bidang ICT, termasuk pembangunan perisian, aplikasi serta pembekal perkhidmatan teknologi maklumat," kata Najib.- BERNAMA