suria

ADUN Seri Muda Akan Fail Permohonan Cabar Akta Hasutan

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei bakal memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk mencabar Akta Hasutan 1948 yang dipertuduhkan terhadapnya atas dakwaan menerbitkan artikel yang menghasut, pada tahun lalu.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam Edmund Bon semasa sebutan semula kes terhadap Shuhaimi di Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin.

"Kami akan memfailkan permohonan bagi mendapatkan perintah deklarasi bahawa pertuduhan di bawah Akta Hasutan adalah tidak terpakai kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan undang-undang tertinggi negara," katanya.

Edmund menambah, permohonan itu sedang dalam proses untuk dimuktamadkan kerana terdapat dokumen yang masih belum diserahkan oleh pihak pendakwaan, iaitu laporan oleh CyberSecurity Malaysia yang bertarikh 17 Januari lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafiah Zakaria berkata, pihaknya tidak melihat sebarang alasan mengapa pihak pembelaan perlu menunggu dokumen tersebut sebelum dapat memfailkan permohonan mereka.

"Semasa pertuduhan telah dibacakan untuk kali pertama di mahkamah, ia adalah mencukupi untuk pihak pembelaan memfailkan permohonan," tambah beliau yang mengendalikan pendakwaan bersama Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof.

Bagaimanapun, selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Hakim Slamat Yahya menetapkan kes itu disebut semula pada 25 April depan untuk mendapatkan pengesahan mengenai status permohonan yang akan difailkan oleh Timbalan Ketua Cabang PKR Kota Raja tersebut.

Shuhaimi, 42, didakwa atas pertuduhan menerbitkan artikel meghasut yang bertajuk 'Pandangan saya berasaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959' yang disiarkan di laman blognya di alamat http://srimuda.blogspot.com pada 30 Disember 2010.

Artikel itu diterbitkan semasa isu mengenai pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohamad Khusrin Munawi sedang hangat diperkatakan dan artikel itu juga didakwa menyentuh mengenai Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pusat Khidmat Rakyat, 6/2, Jalan Anggerik Vanilla R 31/R, Kota Kemuning, di sini.

Pendakwaan terhadap Shuhaimi yang memenangi kerusi DUN Seri Muda pada pilihan raya umum 2008 dikendalikan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Prosiding Isnin juga menyaksikan mahkamah ditangguhkan beberapa kali kerana pertembungan yang berlaku antara prosiding mahkamah dengan pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dirasmikan oleh Sultan Sharafuddin.

Ia menyebabkan hanya Edmund yang berada di mahkamah semasa kes dipanggil pada pukul 9.40 pagi dan beliau berkata pihaknya telah menghantar surat kepada mahkamah pada Jumaat lalu yang memaklumkan ketidakhadiran Shuhaimi, yang sedang berada dalam jaminan RM8,000 yang dijelaskan oleh rakanya, Rohaya Wan Idrus, 48.

Edmund juga memohon agar kehadiran Shuhaimi pada prosiding hari ini dikecualikan kerana beranggapan ia 'satu situasi yang mempunyai alasan yang munasabah'.

Bagaimanapun, Mohamad Hanafiah membantah permohonan itu dan memohon supaya waran tangkap dikeluarkan kerana Shuhaimi tidak menghormati mahkamah apabila membuat keputusan untuk tidak hadir sedangkan tarikh hari ini telah ditetapkan lebih awal. "Permohonan untuk tidak hadir hanya dibuat oleh Shuhaimi pada saat-saat akhir dan seolah-olah penetapan masa dibuat mengikut suka beliau dan tidak mengikut kehendak mahkamah. Tertuduh mempunyai sifat tidak menghormati mahakmah," tambahnya. Slamat kemudiannya memutuskan agar prosiding mahkamah ditangguhkan sebentar untuk membolehkan Shuhaimi hadir. Shuhaimi tiba di mahkamah pada pukul 10.15 pagi dengan berpakaian lengkap baju rasmi sidang DUN.

Semasa ditemui di luar mahkamah, Shuhaimi meluahkan rasa kesal kerana perlu meninggalkan Sidang DUN semasa Sultan Sharafuddin sedang bertitah. "Semasa Tuanku Sultan bertitah, saya tidak akan berada di dalam dewan dan pihak-pihak tertentu akan memainkan imej itu dan isu bahawa saya tidak menghormati Sultan," katanya.

Beliau juga mendakwa bahawa telah memberitahu mengenai pembukaan Sidang DUN kepada mahkamah semasa kali pertama didakwa, iaitu pada 7 Januari lalu.

Artikel Lain