suria

Yang Dipertua Dewan Negara Terima Kunjungan Duta Perancis

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang menerima kunjungan hormat Duta Besar Perancis Marc Barety, di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini, Jumaat.

Kunjungan itu bertujuan memaklumkan kepada Abu Zahar mengenai lawatan Presiden Kokus Asia Tenggara, Senat Rupublik Perancis Gerard Miquel dan delegasi ke Malaysia pada 18 hingga 20 April ini.

"Duta Besar Perancis Mr Marc Barety ingin memberitahu dan menyampaikan surat kepada saya bahawa delegasi itu ingin melawat bangunan Parlimen pada sesi lawatan mereka nanti.

"Saya turut dimaklumkan bahawa delegasi juga kemungkinan akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," kata Abu Zahar kepada pemberita selepas kunjungan hormat itu.

Katanya delegasi tersebut juga dijangka akan melawat ke beberapa tempat di negara ini termasuk wilayah Iskandar di Johor bagi melihat peluang pelaburan yang ada dan boleh disertai oleh kerajaan atau pelabur Perancis.

Dalam kunjungan kira-kira sejam itu, kedua-dua mereka turut menyentuh mengenai sistem Parlimen di negara masing-masing yang mempunyai banyak persamaan, selain hubungan kedua-dua negara dalam bidang ekonomi, pelancongan dan sosial yang boleh dipertingkatkan. -BERNAMA

Artikel Lain