suria

Warga Tua Rentung Dalam Kebakaran

TAMPARULI: Seorang warga tua rentung manakala seorang lelaki kurang upaya terselamat dalam kebakaran di Kampung Ulu Bawang, dekat sini malam tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Mongkaris Saidal, 90 ditemui rentung dalam rumahnya pada kira-kira pukul 10.00 malam sementara anak lelakinya yang kurang upaya Jison, dalam lingkungan umur 50-an, terselamat dalam kejadian itu.

Menurut anak Mongkaris, Rosnah, 38, beliau bersama keluarganya tinggal berhampiran kuari di Kampung Bawang manakala ayahnya tinggal di Ulu Kampung Bawang.

"Baru pagi tadi saya tahu rumah bapa saya terbakar setelah diberitahu oleh jiran," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Rosmah berkata beliau kemudian memaklumkan ke balai polis Tamparuli mengenai kejadian itu.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran Faidzil Abdullah berkata sebuah jentera beserta tujuh anggota dikejarkan ke tempat kejadian setelah dimaklumkan pada pukul 8.23 pagi tetapi tidak boleh sampai ke tempat kejadian kerana jalan sempit dan tidak boleh dilalui oleh jentera berat.

Bagaimanapun bahagian siasatan kebakaran negeri berserta pasukan bomba Tuaran pergi ke tempat kejadian menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk membuat siasatan.

Polis kemudian membawa mayat mangsa ke hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat dan mayat mangsa telah dituntut oleh keluarganya, katanya.

Punca dan kerugian akibat kebakaran itu masih dalam siasatan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain