suria

BN Konsisten Dalam Soal Pembangunan Di Sarawak

KUCHING: Barisan Nasional (BN) konsisten terutama dalam melaksanakan pembangunan dari segi infrastruktur untuk dinikmati rakyat sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar.

Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur Sarawak, Datuk Daud Abdul Rahman berkata, agenda pembangunan tetap menjadi keutamaan BN meskipun pucuk pimpinan bersilih ganti.

"Kita bukan melakukan pembangunan untuk memancing undi pada pilihan raya seperti yang didakwa parti pembangkang tetapi ia dilakukan secara berterusan untuk kepentingan rakyat," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pecah tanah untuk projek perparitan di Taman Sejoli dan Taman Muri dalam kawasan Petra Jaya di sini, Ahad.

Menurut Daud, projek pembangunan melibatkan seluruh kawasan di negeri Sarawak sudah dirancang sejak sekian lama dan ada diantaranya sudah dilaksanakan di bawah program Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

"Kita akan membesarkan jalan di kawasan Matang bagi mengurangkan kesesakan lalu-lintas dan membina jalan baru yang sering menjadi isu dibangkitkan pihak pembangkang dalam kempen pilihan raya ini," ujarnya.

Jelas beliau, pembinaan jejambat untuk menyelesaikan kerumitan rakyat di Matang tidak begitu praktikal. Bagaimanapun, kerajaan negeri akan membina jalan pintas menghubungkan kawasan itu dengan beberapa jalan utama dalam tempoh masa singkat.

"Kita melihat perkara itu dari aspek menyeluruh. Kita tidak mahu ia difokuskan pada satu tempat saja. Sebaliknya ia perlu dilakukan secara berterusan untuk memberi keselesaan kepada rakyat.

"Mereka (pembangkang) sentiasa mencari isu tanpa fakta tepat untuk meraih undi rakyat. Sebelum bercakap kosong di sini, mereka perlu terlebih dahulu menyelesaikan masalah kesesakan di Pulau Pinang dan Selangor," tegasnya.

Mengulas mengenai projek di dua kawasan perumahan di sini, Daud berkata, ia melibatkan projek menaik taraf jalan dan sistem perparitan sedia ada yang sudah berusia 30 tahun.

"Kehidupan kita sekarang sudah berubah jadi standard sistem perparitan dulu jauh berbeza. Ia tidak boleh lagi diguna pakai dan perlu dinaik taraf kepada parit konkrit manakala jalan raya perlu diturap," katanya.

Untuk fasa awal, Daud memberitahu, projek itu akan dilaksanakan di dua taman tersebut di bawah kendalian Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sebelum melibatkan kawasan berhampiran, khususnya Taman Len Seng di sini.

Artikel Sebelum

Artikel Lain