KUCHING: Sejumlah 18,363 pengundi pos pilihan raya negeri Sarawak pada Rabu mula mengundi di beberapa lokasi ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini, termasuk di Kem Tentera Penrissen di sini.Mereka merupakan anggota tentera dan keluarga seramai 11,738 orang, polis dan keluarga (6,591) dan pengundi di luar negara (34). Di Kem Tentera Penrissen, Kota Sentosa, anggota tentera berkumpul di Dewan Bukavu seawal pukul 7.30 pagi bagi menjalankan tugas mereka untuk mengundi.Panglima 3 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Mohd Ramli Jaafar berkata pengundian untuk tentera ditetapkan selama dua hari bermula hari ini kerana terdapat anggotanya yang terpaksa bertugas di dalam operasi."Jadi proses mengundi untuk hari ini ialah bagi mereka yang berada di pengkalan, kemudian keesokannya, kertas-kertas undi yang masih belum sempat dilaksanakan kita akan bawa ke kawasan operasi," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.Sementara itu, anggota polis di sini turut mengundi di Kelab Polis, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini yang dibuka sejak pukul 9.30 pagi.Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Law Hong Soon memberitahu pemberita sebanyak 35 lokasi undi pos ditetapkan di seluruh negara."Seramai 6,591 anggota kita terlibat, dan kita telah tetapkan tempat mengundi tersebut di IPK dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di semua daerah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.Dalam perkembangan berlainan, Law meminta kerjasama mana-mana pihak yang mempunyai rakaman kejadian helikopter terhempas di Sibu dua hari lepas agar tampil membantu polis."Kami merayu kepada orang ramai yang ada video klip berkaitan dengan kejadian itu tolong tampil ke hadapan untuk bantu siasatan," katanya.Dalam kejadian pukul 1.50 tengah hari itu, helikopter jenis Bell 206 milik Sabah Air terhempas sejurus berlepas dari Dataran Sibu mengakibatkan juruterbang Kapten Sahimi Ghazali meninggal dunia. -BERNAMA