suria

Warga India Miliki Ketamin Dihukum Penjara

SHAH ALAM: Tindakan licik seroang lelaki warga India menyembunyikan serbuk dadah ketamin di bahagian leher baju gagal mengaburi mata pihak berkuasa tempatan apabila dia ditangkap sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Mohamed Ali Shaik Dawood, 35, yang kemudiannya dipertuduhkan atas dakwaan mengedar dadah itu yang membawa hukuman mati mandatori, bagaimanapun bernasib baik apabila pihak pendakwaan menerima representasi yang dihantar olehnya.

Justeru itu, pada Rabu, dia tanpa ragu-ragu mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan memiliki 2.39 kilogram ketamin, pada pukul 6.45 pagi, 27 Disember 2009.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat cawangan pemeriksaan penumpang 1, Balai Ketibaan, Terminal Utama KLIA, Sepang, dekat sini.

Timbalan Pendakwa Raya Nazrah Mokhtar menawarkan pertuduhan pilihan tersebut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang tiba di negara ini menerusi penerbangan dari Chennai, India diarahkan untuk menjalani prosedur mengimbas beg hitam yang dibawanya kerana didapati terdapat imej yang mencurigakan.

Di dalamnya terdapat dua longgokan baju dengan 24 helai daripadanya mengandungi serbuk dadah yang disembunyikan di bahagian dalam jahitan leher baju berkenaan.

Pada prosiding itu, peguam V. Aravindakhshan merayu agar mahkamah meringankan hukuman terhadap tertuduh yang menanggung keluarga melalui perniagaan telefon bimbit dan pakaian.

“Tertuduh menghidap asma dan tekanan darah rendah. Tertuduh yang tidak begitu bijak telah digunakan oleh mereka yang lebih cerdik untuk dijadikan sebagai keldai dadah,” katanya.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Wira Mohtarudin Baki semasa menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bermula tarikh tangkap, 27 Disember 2009 terhadap tertuduh, mengutuk cara kesalahan itu dilakukan.

“Jika kamu disabitkan bersalah mengikut pertuduhan asal, saya akan seperti kes-kes lain akan menjatuhkan hukuman mati kerana cara kamu membawa dadah itu memperbodohkan rakyat Malaysia.

“Kami bukan bodoh, tetapi dalam masa yang sama kami juga manusia biasa. Memandangkan kamu telah ditawarkan pertuduhan pilihan dan mengaku bersalah, saya mengambil kira faktor ini dalam penghakiman saya,” tambahnya.

Artikel Lain