IPOH: Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini meluluskan usul untuk menggantung Drs Khalil Idham Lim (PAS-Titi Serong) daripada menghadiri satu sesi persidangan DUN akan datang.Khalil Idham dikenakan tindakan itu selepas dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN pada 2 Dis lepas atas dakwaan tidak bercakap benar dan enggan bertanggungjawab atas perkara yang diperkatakan pada persidangan itu kerana menuduh terdapat anggota DUN membawa bomoh ketika Dewan bersidang pada 7 Mei 2010. Penggantungan itu dibuat selepas majoriti anggota DUN pada persidangan hari ini bersetuju terhadap usul memperakukan laporan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN yang bersidang 25 Feb lepas.Seorang lagi anggota DUN, Datuk Hasbullah Osman (BN-Temenggor) yang dirujuk ke jawatankuasa itu apabila didakwa menuduh exco kerajaan negeri Selangor menerima rasuah, tidak dikenakan apa-apa tindakan.Datuk Nasaruddin Hashim (BN-Bota) berkata Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DU Ntelah membuat perakuan terhadap kedua-dua Adun berkenaan yang dirujuk kepada jawatankuasa itu pada 2 Dis lepas."Jawatankuasa ini mendapati Adun Titi Serong mempunyai isu berbangkit dan mempunyai prima facie yang perlu dijawab olehnya tetapi Adun Titi Serong gagal memberi penjelasan kerana enggan menghadiri persidangan jawatankuasa pada 25 Feb lepas."Sehubungan itu, jawatankuasa mendapati Adun Titi Serong gagal untuk bertanggungjawab atas kebenaran kenyataannya pada persidangan DUN berkenaan," katanya ketika membentangkan usul laporan dan perakuan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan itu pada persidangan DUN di sini Jumaat.Beliau berkata, Adun Temenggor pula mengatakan Ronnie Liu rasuah berdasarkan komen-komen beberapa anggota DAP di Selangor, oleh itu tiada isu dan tiada prima facie serta tiada tindakan dikenakan terhadapnya.Usul bagi memperakukan laporan itu dibawa oleh Nasaruddin dan disokong oleh Datuk Rusnah Kassim (BN-Ulu Kinta) serta dipersetujui majoriti anggota DUN tanpa dibahaskan.Sebaik Speaker Dewan Datuk R.Ganesan mengatakan majoriti anggota persidangan DUN bersetuju dengan usul yang dibawa Nasaruddin itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bertindak keluar Dewan dengan diikuti sembilan wakil pembangkang lain.Sementara itu, persidangan DUN hari ini meluluskan pindaan Enakmen Menteri Besar Perak (Pemerbadanan) 1951, Enakmen Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak serta meluluskan tiga jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri, Jawatankuasa Perintah-perintah Tetap Negeri dan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Negeri serta pelantikan anggotanya.Persidangan Dewan ditangguh pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. -BERNAMA