suria

Cubaan Seludup Masuk 90 Batang Kayu Bergergaji Bernilai RM320,000 Tumpas

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Martim Malaysia (APMM) Tawau menumpaskan cubaan menyeludup masuk 90 batang kayu bergergaji bernilai RM320,000 menggunakan bot jongkong ke negara ini.

Ketua Penguatkuasa APMM Tawau, Komander (Maritim) Amran Daud berkata kayu bergergaji jenis Kayu Amara atau Kayu Malam itu dirampas dari dua buah bot jongkong yang sedang berlabuh di Jeti Sungai Tawau, kira-kira pukul 2 petang semalam.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua bot jongkong tersebut dipercayai berasal dari Kalimantan, Indonesia yang ingin memunggah muatan kayu bergergaji tanpa melalui jeti yang telah diwartakan," katanya dalam satu kenyataan di sini Jumaat.

Beliau berkata bot pertama membawa 65 batang manakala bot kedua pula membawa 25 batang.

Dua juragan bot dan enam awak-awak, kesemuanya warga Indonesia berumur antara 20-an dan 60-an turut ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah.

Katanya kes berkenaan akan disiasat mengikut Akta Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia kerana tidak mempunyai sebarang dokumen sangkutan untuk membawa masuk muatan Kayu Amara tersebut dan Akta Imigresen 1952/63. - BERNAMA

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia