suria

Anggota Tentara Ditemui Mati Lemas Di Pantai Tanjung Bidara

MELAKA: Seorang anggota tentera dari Kem Terendak ditemui mati lemas di Pantai Tanjung Bidara, Alor Gajah awal Ahad.

Mayat Kpl Donny a/k Chaming, 30-an ditemui pekerja sebuah resort berhampiran pantai itu pada pukul 2.45 pagi ini, kata jurucakap Balai Polis Sungai Udang ketika mengesahkan kejadian itu.

Sementara itu, rakan mangsa Sabang a/k Janggut, 36, berkata Donny dari Briged 10 Para pergi menjala ikan di kawasan pantai berhampiran kem tempat mereka bertugas itu pada pukul 1 pagi.

"Semalam lebih kurang pukul 6 petang dia ada mengajak saya pergi menjaring ikan pagi ini, saya pun bersetuju untuk ikut tetapi dia pergi dulu awal pagi itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Melaka di sini.

Sabang yang juga anggota tentera di kem itu berkata beliau menunggu panggilan rakannya itu antara pukul 8 dan 9 pagi ini untuk menjaring ikan bersama, tetapi menerima panggilan daripada pegawai kem memaklumkan rakannya telah meninggal dunia.

Boniface a/k Simpah, 32, pula berkata beliau mengetahui kejadian yang menimpa rakannya itu pada pukul 6 pagi.

Beliau berkata Donny yang berasal dari Miri, Sarawak telah bertugas sebagai anggota tentera selama kira-kira 10 tahun, berkahwin dan mempunyai tiga orang anak.

Mayat Donny diterbangkan ke negeri asalnya malam ini. - BERNAMA

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia