KUALA LUMPUR: Seramai 12,397 atau 60.5 peratus daripada 20,502 penghuni yang menjalani program rawatan dan pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) berjaya dipulihkan tahun lepas.Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, bagaimanapun terdapat 7,735 atau 37.7 peratus pelatih yang tidak dapat mengekalkan kepulihan atau menagih semula ketika menjalani pengawasan dalam komuniti. "Proses pemulihan seorang penagih dadah memakan masa yang panjang dan penagihan dianggap sebagai 'penyakit berulang yang kronik'."Sungguhpun demikian, sepanjang tahun 2010 seramai 12,397 daripada 20,502 pelatih yang tamat tempoh pengawasan telah berjaya membebaskan diri daripada penagihan dadah, manakala 370 orang atau 1.8 peratus pula telah meninggal dunia," katanya menjawab soalan Senator Mariany Mohammad Yit pada persidangan Dewan Negara di sini, Selasa.Mariany ingin tahu jumlah purata kos yang ditanggung kementerian bagi seorang pelatih di Pusat Serenti, jumlah keseluruhan pelatih di seluruh negara serta keberkesanan sistem di pusat-pusat tersebut.Berhubung kos yang ditanggung kementerian bagi seorang penghuni Puspen, Abu Seman berkata sebanyak RM19.77 sehari atau RM593.10 sebulan telah dibelanjakan merangkumi perbelanjaan makan minum, emolumen kakitangan dan perkhidmatan serta bekalan.Beliau berkata, sehingga Mac tahun ini seramai 5,441 orang pelatih sedang menjalani rawatan dan pemulihan dadah di semua pusat serenti seluruh negara. -BERNAMA