suria

Video Seks: Shazryl Eskay Mahu Sumpah Laknat

KUALA LUMPUR: Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang merupakan salah seorang trio 'Datuk T' yang bertanggungjawab terhadap kontroversi video seks melibatkan pemimpin pembangkang, sedia bersumpah laknat pada Jumaat.

Beliau berkata, sumpah berkenaan akan dibuat bertujuan bagi memperakui dakwaannya sebelum ini bahawa pelaku dalam video seks tersebut adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Mengenai identiti sebenar pelaku video tersebut, saya berani bersumpah bahawa pelaku itu adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana saya sendiri berada di lokasi itu dan juga dalam paparan video berkenaan," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Selain itu, Shazryl Eskay turut mencabar Anwar untuk bersumpah laknat bersamanya sekiranya Ketua Umum Pakatan Rakyat itu masih menafikan bahawa beliau adalah pelaku dalam video seks berkenaan.

Sumpah laknat berkenaan akan dibuat di Masjid Amru Al-As Bandar Baru Sentul.

Hadir sama pada sidang media berkenaan ialah dua lagi rakan trio 'Datuk T' iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Shuib Lazim.

Ditanya sama ada kesemua mereka akan bersumpah laknat, Shazryl Eskay berkata beliau akan mewakili trio 'Datuk T' untuk melakukannya.

Mengulas lanjut, Shazryl Eskay berkata pihaknya sedar balasan yang bakal mereka terima sekiranya pendedahan video seks berkenaan merupakan satu fitnah.

"Kami tampil ke hadapan dan mengambil risiko dengan menayangkan video berkenaan, kami sedar apakah balasannya di akhirat sekiranya kami melakukan fitnah.

"Kami percaya berada pada pihak yang benar dan yang penting rakyat di negara ini perlu tahu siapa sebenarnya Anwar kerana beliau tidak layak menjadi pemimpin negara ini," katanya.

Shazryl Eskay yang juga seorang ahli perniagaan berkata beliau dan dua lagi rakannya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pendedahan berkenaan bagi membuktikan kebenaran.

"Demi Allah yang maha mengetahui, tindakan yang kami ambil ini adalah semata-mata bertujuan untuk menzahirkan kebenaran dan bukan sekali-kali memfitnah atau bagi memenuhi kepentingan pihak-pihak tertentu atau kepentingan kami sendiri.

"Dengan nama Allah, Rasulullah (saw), rakyat dan anak-anak cucu kita, saya dan rakan-rakan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pendedahan tersebut," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai sampel asid deoksiribonukleik (DNA) yang diserahkannya kepada polis pada Rabu, Shazryl Eskay berkata beliau menyerahkan calitan air liurnya bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Artikel Berikut

Artikel Lain