suria

Warga Tempatan Tidak Minat, 40,000 Tenaga Asing Bekerja Di Ladang Felda

JERANTUT: Kira-kira 40,000 pekerja asing bekerja di ladang milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di seluruh negara berikutan tenaga kerja tempatan tidak berminat untuk bekerja di sektor perladangan, kata Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Beliau berkata jumlah itu mewakili 84 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja yang bekerja di ladang Felda dengan 29,000 orang daripadanya adalah tenaga kerja dari Indonesia, 10,000 dari Bangladesh dan selebihnya lain-lain bangsa.

"Felda terpaksa menggunakan tenaga kerja asing terutama dari Indonesia kerana anak tempatan tidak berminat untuk berkerja di ladang milik Felda, malah Felda mendapat kerjasama baik daripada kerajaan Indonesia untuk membekal tenaga kerja mereka," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis makan malam sempena sambutan Hari Pekerja Kumpulan Felda Peringkat Nasional di Pusat Perkhidmatan Pertanian Tun Razak di sini, malam Ahad.

Bagaimanapun, katanya bagi kilang-kilang miliknya, Felda tidak berdepan dengan masalah itu berikutan penggunaan teknologi moden yang diuruskan 100 peratus oleh anak tempatan.

Sementara itu, Mohd Isa berkata Felda sentiasa memastikan kebajikan pekerja asing, malah mereka disediakan kemudahan tempat tinggal dan menerima gaji yang lumayan.

"Kebanyakan pekerja asing tersebut menerima gaji antara RM800 dan RM1,200 sebulan bergantung kepada tahap kecekapan masing-masing dan Felda sentiasa mengiktiraf pekerja Felda sama ada pekerja tempatan atau asing jika menunjukkan prestasi yang baik," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain