KUALA LUMPUR: Seorang pensyarah pada Selasa memberitahu Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh Beng Hock bahawa berdasarkan analisis saintifik yang dilakukannya, ada kemungkinan Teoh mati kerana jatuh dari tempat tinggi.Profesor Sallehuddin Muhamad dari Bahagian Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, beliau diminta oleh penyiasat pensendirian suruhanjaya itu, Michael Leslie Squires, untuk membuat analisis terhadap kematian Teoh dengan menggunakan analisis saintifik berkaitan pergerakan Teoh jatuh di Plaza Masalam di Shah Alam. Katanya, berdasarkan analisis itu berkemungkinan bahawa Teoh jatuh dari tempat tinggi selepas keputusan menunjukkan tiada sebarang kesan halangan udara yang berlaku kerana tolakan secara melintang dan tolakan ke bawah dari ketinggian tiga meter.Beliau berkata, kejadian itu juga adalah tidak mungkin Teoh yang mencangkung di birai tingkap dan terus jatuh ke depan dengan jatuhan bebas dari sudut 4.75 darjah."Sekiranya Teoh terjun dalam keadaan itu, mungkin kepala mangsa akan terkena pada panel tingkap berdasarkan saiz bukaan tingkap itu," katanya ketika disoal oleh Pegawai Pengendali, Amarjeet Singh.Beliau yang juga merupakan pakar penyiasat dalam kemalangan yang melibatkan pesawat udara, berkata keadaan tolakan secara melintang berlaku boleh dikategorikan sebagai membunuh manakala keadaan sekiranya Teoh jatuh secara jatuhan bebas, dikategorikan sebagai bunuh diri.Pendapat Sallehuddin itu sama dengan empat pakar forensik patalogi yang sebelum ini memberi keterangan iaitu, Pegawai Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh Dr Shahidan Mohamed Noor, Pakar Perunding Perubatan Jabatan Forensik dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang Dr Khairul Azman Ibrahim, Pensyarah Kanan Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya Dr Prashant Naresh Samberkar dan Pakar Forensik Britain Profesor Dr Peter Vanezis.Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka'.Suruhanjaya Siasatan itu dianggotai oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom. -BERNAMA