suria

Adik Teoh Diberi Amaran Supaya Tidak keluar Kenyataan Salah

KUALA LUMPUR: Pengerusi Suruhanjaya yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini memberi amaran kepada adik perempuan Teoh supaya tidak mengeluarkan kenyataan salah berhubung prosiding siasatan. Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen berkata tindakan tegas akan diambil sekiranya Teoh Lee Lan berbuat demikian. "Kami telah bertugas hingga larut malam dan lebih masa untuk mencari kebenaran. Kami tersinggung dengan tuduhan sedemikian. Malah peguam Majlis Peguam Christopher Leong sendiri telah menyatakan secara terbuka tidak ada yang dapat menyokong perkara (dakwaan) sedemikian. Kami tidak akan biarkan ini mengganggu dan merosakkan prosiding ini," katanya.

Arahan Foong itu timbul setelah sebuah laman web menyiarkan artikel yang memetik kata-kata Lee Lan dalam satu sidang media pada 28 April lalu bertajuk "RCI sekongkol dengan SPRM".

Lee Lan yang disoal Foong berhubung artikel tersebut pada awalnya kelihatan tercengang dan menyatakan tidak tahu apa yang ditulis sehinggalah ditunjukkan artikel itu.

Bagaimanapun beliau tidak memberi jawapan (selepas membaca artikel) sama ada ada menyebutnya (dakwaan tentang prosiding) atau tidak.

Sementara itu, Lee Lan yang memberi keterangan dalam bahasa Kantonis yang diterjemah oleh seorang jurubahasa berkata beliau amat rapat dengan Teoh tetapi tidak dapat mengcam tulisan tangan abangnya bagi memastikan kesahihan nota 'selamat tinggal' yang dijumpai dalam beg Teoh. Tambahnya, Teoh bukan seorang yang kuat agama dan hanya sekali ke kuil iaitu pada Tahun Baru Cina.

Ketika prosiding, Lee Lan gagal menjawab soalan dengan tepat dan kelihatan sebak apabila menceritakan karektor Teoh.

Selain Lee Lan, abang Teoh iaitu Meng Kee, tunang Teoh Soh Cher Wei dan bapa Teoh, Leong Hwee turut dipanggil memberi keterangan hari ini.

Teoh, 30, setiausaha politik Ean, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Selain Foong, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S. Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Januari lepas, antara lain menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner, pada akhir siasatannya, membuat keputusan terbuka.

Prosiding disambung esok. - BERNAMA

Artikel Lain