suria

Agong, Permaisuri Lawat Kedah Tiga Hari Mulai Jumaat

ALOR SETAR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Tuanku Nur Zahirah akan melakukan lawatan rasmi selama tiga hari ke Kedah mulai Jumaat ini.

Baginda berdua dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Setar (LTSAH) pada pukul 4.45 petang dan diikuti majlis menghadap Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'azam Shah di Istana Tetamu di Mentaloon sejam selepas itu.

Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah dijadual menghadiri jamuan negeri bersama Sultan Kedah dan Sultanah Tuanku Haminah Hamidun di Istana Anak Bukit pada sebelah malam.

Mengikut jadual yang dikeluarkan Jabatan Penerangan Kedah, Tuanku Mizan akan menyertai pertandingan golf di Kelab Cinta Sayang Sungai Petani pada Sabtu pagi manakala Tuanku Nur Zahirah mempunyai program berasingan.

Tuanku Nur Zahirah akan menyusuri Sungai Merbok dan melawat Muzium Perhutanan di Gunung Jerai serta menghadiri majlis santapan tengah hari di The Regency Jerai Hill Resort.

Pada sebelah malam, baginda berdua dijadual berangkat ke majlis jamuan rakyat di Dewan Wawasan, Jitra.

Pada Ahad, Tuanku Mizan akan menghadiri taklimat pembangunan negeri di Bilik Gerakan di Wisma Darul Aman, pusat pentadbiran kerajaan Kedah sebelum berangkat pulang dari LTSAH pada pukul 5 petang. -BERNAMA

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan