GEORGE TOWN: Seramai 300 penunggang motosikal yang dipercayai "samseng jalanan" ditahan dalam operasi mencegah kegiatan lumba haram di Jalan Sultan Ahmad Shah dan sekitar Batu Uban di sini malam Sabtu.Ketua Jabatan Trafik dan Ketenteraman Awam Pulau Pinang, Supritendan Wan Aziz Wan Husin berkata operasi yang dijalankan Polis Trafik Pulau Pinang bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar bermula 12 tengah malam hingga 9 pagi tadi. Menurutnya, kesemua lelaki yang ditahan itu berusia lingkungan 15 hingga 36 tahun manakala tujuh wanita berumur dalam lingkungan 16 hingga 24 tahun."Dalam operasi itu, polis turut mengeluarkan sebanyak 257 saman trafik dan menyita 31 buah motosikal yang ditinggalkan pemiliknya yang dipercayai melakukan pelbagai jenis kesalahan," katanya kepada pemberita, pada Ahad.Beliau berkata empat daripada mereka yang ditahan itu didapati turut positif ketamin dan seorang lagi ditahan kerana cuba merempuh sekatan polis dalam usaha untuk melarikan diri.Kesemua penunggang yang ditahan itu diarah menolak motosikal masing-masing sejauh 15 kilometer dari Batu Uban ke Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang (IPK) dan diberikan sesi kaunseling oleh Bahagian Agama dan Kaunseling (Baka) IPK Pulau Pinang selama setengah jam.Operasi itu melibatkan 62 anggota polis trafik serta 42 anggota JPJ dan Jabatan Alam Sekitar. - BERNAMA