KAJANG: Terdapat mangsa kejadian tanah runtuh di Rumah Anak Yatim Hidayah Hulu Langat dekat sini terpaksa menjalani pembedahan segera memotong anggota badan yang rosak teruk di tempat kejadian untuk menyelamatkan nyawa mereka, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.Menurut beliau, kecederaan yang mereka alami itu sangat teruk sehingga memaksa para doktor dan pasukan perubatan menyegerakan keputusan untuk melakukan pembedahan di pusat bantuan kecemasan sementara yang dibentuk di kawasan berhampiran. Tambahnya lagi, pasukan perubatan seramai dua orang pakar, sembilan doktor dan 25 kakitangan paramedik dari Hospital Ampang, Kajang dan Kuala Lumpur telah bertungkus lumus melakukan rawatan kecemasan kepada mangsa di pusat rawatan kecemasan sementara itu.Dua puluh buah ambulans pula diletakkan dalam keadaan bersiap sedia di tempat kejadian.Menurut Liow, pembedahan kecemasan dan segera adalah pilihan terakhir tetapi jika ia diperlukan untuk menyelamatkan nyawa mangsa, mereka terpaksa membuat keputusan itu dengan segera.