suria

Cadang Pembantu Rumah Lari Diganti Tanpa Kos

KUALA TERENGGANU: Kerajaan bercadang untuk menetapkan peraturan kepada agen pembantu rumah Indonesia supaya menggantikan pembantu rumah lain tanpa dikenakan sebarang caj sekiranya pembantu rumah yang dibekalkan sebelum itu melarikan diri.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata, ia antara yang dirundingkan dengan agen pembantu rumah dan belum dimuktamadkan sementara menunggu perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan Indonesia, Isnin ini.

"Selain itu, kerajaan juga mungkin membenarkan majikan menyimpan pasport pembantu rumah asing masing-masing atas faktor keselamatan, berdasarkan persetujuan antara kedua-dua belah pihak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Kuala Terengganu di sini pada Sabtu yang turut dihadiri oleh Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Ketua Wanita UMNO bahagian Jannah Zaleha Nik.

Maznah berkata demikian sebagai mengulas persefahaman yang dijangka dicapai antara kerajaan Malaysia dan Indonesia Isnin ini bagi menamatkan masalah pembekuan pembantu rumah Indonesia yang berlarutan sejak Jun 2009.

Katanya, walupun mengikut peraturan antarabangsa, adalah salah untuk pihak lain memegang pasport seseorang pekerja itu, namun kerajaan mempunyai mekanisme mengatasi soal itu iaitu dengan melibatkan persefahaman antara pembantu rumah dengan majikan.

"Setelah mengambil kira aspek keselamatan dan demi kepentingan kedua-dua belah pihak, majikan mungkin dibenarkan menyimpan pasport pembantu rumah mereka iaitu apabila masing-masing bersetuju untuk berbuat demikian," katanya.

Mengenai permintaan memberikan cuti minimum sehari seminggu kepada pembantu rumah, Maznah berkata, sekiranya ada persetujuan antara majikan dengan pembantu rumah, cuti hujung minggu boleh ditukar dengan hari lain.

Untuk tujuan itu katanya, beliau akan mengunjungi beberapa pusat latihan pembantu rumah di Indonesia dalam tempoh terdekat untuk memantau persediaan tenaga kerja dari negara itu sebelum dihantar bekerja ke negara ini. BERNAMA

Artikel Lain