suria

Adakah Perwakilan PAS Akan Turut Kata-Kata Nik Aziz?

KUALA LUMPUR: Apabila perwakilan PAS memilih barisan kepimpinan baru dalam muktamarnya esok, ramai pemerhati politik pastinya amat berminat untuk melihat sekiranya para perwakilan akan mematuhi gesaan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat supaya calon-calon dari Kelantan dipilih dalam barisan kepimpinan parti.

Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan secara terbuka meminta perwakilan memilih calon yang boleh membawa apa yang dikatakan beliau sebagai "pengalaman Kelantan" ke peringkat nasional, kerana beliau dilihat cuba menempatkan pemimpin-pemimpin dari negeri ke peringkat hirarki parti kali ini.

Dalam pemilihan parti lepas pada 2009, calon-calon dari Kelantan diketepikan dari kepimpinan tertinggi parti, termasuk anak emasnya Datuk Husam Musa yang bertanding jawatan Timbalan Presiden parti ketika itu.

"Ia sukar sekali, jika Kelantan muncul sebagai pemenang kali ini, ia akan membawa cabaran besar kepada Hadi. Ia akan menunjukkan bahawa terdapat sokongan kuat terhadap Nik Aziz. Memang ada pertembungan hebat antara semua calon, tapi saya tidak fikir mereka akan pilih kedua-dua Husam dan Nik Amar kali ini," kata penganalisis politik yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia Dr Sivamurugan Pandian.

Husam dan Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah adalah esco Kelantan dan kedua-dua mereka yang bertanding untuk jawatan Naib Presiden, berhadapan dengan penyandang Salahudin Ayub dan Mahfuz Omar, dan juga dua lagi muka baru Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan ketua penerangan PAS Idris Ahmad.

Dr Sivamurugan percaya masih sukar bagi pemimpin-pemimpin dari Kelantan untuk menyerlah dalam pemilihan ini kerana pada pandangannya para perwakilan tidak mahu satu pasukan yang berpecah belah dalam menghadapi pilihan raya ini.

"Perkara yang sama dilihat dalam saingan ke jawatan timbalan presiden. Pada pemilihan lepas, ada kumpulan yang cuba melobi Husam ke jawatan itu, kali ini mereka cuba meletakkan Tuan Ibrahim, yang juga sepupu Nik Aziz. Pastinya ada sedikit gesaan bagi Tuan Ibrahim untuk bertanding bagi jawatan nombor dua parti. Bagaimanapun saya masih dapati amat sukar bagi kumpulan ini untuk menyerlah pada pemilihan ini," katanya.

Walaupun kepimpinan PAS menafikan wujud sebarang perselisihan antara penyokong presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau dikenali sebagai "Kumpulan Terengganu" dan penyokong Nik Aziz "Kumpulan Kelantan", beberapa pemerhati politik percaya perbalahan tetap wujud.

Menurut mereka walaupun Hadi tidak dicabar sebagai presiden untuk penggal ke lima, pemerhati berkata keadaan tidak lagi seperti biasa sejak pemilihan parti pada 2009 -- yang dianggap sebagai paling kompetetif dalam sejarah parti dan mengakibatkan perpecahan antara pemimpinnya di Kelantan dan terengganu.

Sesetengah mereka mendakwa Nik Aziz masih kecewa apabila Husam kalah dalam saingan ke jawatan nombor dua parti, dan ini mungkin dapat menjelaskan mengapa dalam pemilihan parti kali ini, para pemimpin dari Kelantan mencuba bersungguh-sungguh untuk jawatan nombor dua dan tiga parti.

Sumber dalaman parti percaya Tuan Ibrahim, bekas pensyarah adalah orang penting dari kumpulan Kelantan untuk memecahkan undi golongan ulama, dan di masa yang sama cuba memaksa Nasharudin memberi laluan.

Bagaimanapun sehingga kini usaha masih belum berjaya memandangkan Nasharuddin, yang dikatakan memihak kepada Hadi, tetap dengan hasratnya untuk mempertahankan jawatan nombor dua parti.

Namun begitu beberapa pemimpin masih percaya Tuan Ibrahim akan berjaya pada pemilihan ini memandangkan beliau dianggap sebagai calon yang boleh diterima dari kedua-dua pihak.

"Tuan Ibrahim dikenali sebagai individu yang diterima baik oleh ulama dan juga kumpulan profesional. Perwakilan tidak akan menghadapi masalah menerimanya memandangkan beliau diundi sebagai naib presiden dalam pemilihan parti lepas," menurut satu sumber dalaman parti.

Bagaimanapun aggota jawatankuasa pusat PAS Datuk Kamaruddin Jaafar berkata hubungan antara Hadi dan Nik Aziz bertambah baik, dan tidak pernah ada sebarang perbalahan terbuka dilaporkan antara mereka.

"Saya rasa tidak ada lagi soal kumpulan Terengganu atau kumpulan Kelantan," katanya.

Walauapapun keadaannya, ramai yang sependapat bahawa saingan antara Tuan Ibrahim, Mohamad Sabu dan Nasharudin untuk jawatan nombor dua parti masih menjadi tumpuan pemerhati politik pada pemilihan ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain