suria

Umat Islam Wajar Perbetulkan Hal Mereka Dahulu - Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata umat Islam sewajarnya memperbetulkan hal mereka dahulu sebelum mampu menjadi obor petunjuk kepada umat manusia sebagaimana umat Islam satu ketika dahulu.

"Ternyata masalah umat Islam adalah masalah dalaman yang walaupun tampak seolah sukar dikawal urus tetapi jalan penyelesaiannya memang ada dan wujud dengan kembali berpegang kepada ajaran Islam sebenar," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Konvensyen Wasatiyyah Sempena Satu Milenium Islam Di Nusantara di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Najib turut mempersoalkan kenapa umat Islam sebagai umat yang bermaruah sanggup membenarkan Islam dipandang remeh dan diperkotak-katik lantaran ketidakmampuan mengurus masalah umat Islam itu sendiri.

"Persoalannya di sini, kenapa pihak ketiga yang selalunya bukan negara Islam diberi kepercayaan dan sandaran untuk menjadi wasit rujukan atau pertelingkahan?

"Kenapakah rasuah, salah tadbir, salah urus dan ketidakcekapan sering menandai pengurusan negara Islam? Sedangkan kita tahu ajaran Islam seperti mana terkandung dalam al-Quran dan Sunnah Rasul mampu menjadi panduan yang jelas," katanya.

Perdana Menteri berkata mutakhir ini, keharmonian di kalangan penganut agama yang berbeza di Malaysia sedikit tercalar kerana ada pihak yang mahu mempolitikkan agama sama ada di kalangan penganut Islam atau bukan Islam.

Beliau berkata dalam sebuah negara yang berbilang kaum, polemik tentang agama harus diurus dengan berhemah dan cermat kerana perbincangan berkaitan agama mampu membakar perasaan semua pihak.

"Sememangnya di dalam sebuah negara yang demokratik, setiap individu bebas menyuarakan pendapat asalkan tidak melanggar undang-undang. Menyuarakan pendapat yang diketahui mampu membakar perasaan penganut agama lain akan mengundang kenyataan balas yang provokatif dan bukanlah satu tindakan bertanggungjawab.

"Dari itu, semua pihak sewajibnya berhati-hati dan mengambil pendekatan yang bijaksana demi kestabilan nasional. Malah, itulah yang dituntut dalam setiap ajaran agama," katanya.

Najib berkata pada zaman ini, masyarakat berbilang bangsa, agama dan budaya tinggal dan berinteraksi sesama mereka di dalam sesebuah negara dan masyarakat antarabangsa, maka aspek perpaduan dan toleransi merupakan faktor utama yang menjadi penyokong kepada pembangunan negara dan keamanan dunia.

Beliau berkata sekiranya wujud perpaduan dan toleransi antara kaum dan negara, maka agenda-agenda pembangunan masyarakat yang direncanakan, dapat dilaksanakan dengan mudah yang akan memberi manfaat kepada semua pihak.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata sekiranya wujud kepincangan kesatuan daripada aspek perpaduan dan toleransi tersebut, maka itu akan membawa kepada keadaan huru-hara.

Najib berkata dalam mengurus perhubungan etnik dan agama di Malaysia, kerajaan semenjak merdeka telah memilih untuk dipandu falsafah integrasi berbanding asimilasi.

Beliau berkata hasil daripada mengamalkan pendekatan wasatiyyah sejak berdekad-dekad, Malaysia muncul sebagai sebuah negara Islam demokratik dan sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi.

Katanya Malaysia juga berjaya menyanggah tanggapan stereotaip selama ini, tentang kononnya sesebuah negara Islam itu lazimnya tidak demokratik, bersifat autokratik walaupun kaya dengan sumber asli namun gagal menguruskannya dengan baik dan tiada pula keadilan sosial.

Selain itu, Perdana Menteri berkata di arena kebangsaan dan antarabangsa, Malaysia telah memperlihatkan bahawa kerajaan bukan setakat beretorik tetapi mengamalkannya secara istiqamah.

Di peringkat global, katanya Malaysia berbaik dengan semua negara sama ada negara Islam atau bukan, namun atas dasar prinsip, kerajaan tidak akan sekali-kali lari daripada menyatakan apa yang benar, malah memperjuangkan yang haq dan menegur yang batil.

"Hasilnya, kita telah membentuk imej sebuah negara Islam berwibawa dan berkemampuan sehingga berupaya menghantar pasukan pengaman di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bagi melindungi umat Islam di Bosnia Herzegovina dan juga mengamankan negara Islam Somalia.

"Kita juga telah menempatkan anggota misi pengaman di selatan Lubnan dan menghantar doktor-doktor wanita ke Afghanistan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain