KUALA LUMPUR: Indonesia mahu tenaga kerja dari negara itu khususnya pembantu rumah diberi perlindungan sewajarnya sepanjang bekerja di MalaysiaTimbalan Duta Besar Indonesia, Mulya Wirana sehubungan itu berkata, perlu ada mekanisme pemantauan bagi mengelakkan berlakunya masalah penderaan di kalangan pembantu rumah Indonesia. “Pembantu rumah perlu dilayan seperti manusia dan bukannya hamba abdi. Hak asasi mereka perlu dihormati dan mereka juga perlu menghormati majikan pada masa yang sama,” katanya di sini, Jumaat.Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program Perlindungan, Pemantauan & Pengurusan Hal Ehwal Pembantu Rumah Indonesia (Helper) anjuran Majlis Penasihat Bantuan Domestik SABA (Saidha) dan Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama) dengan kerjasama Kedutaan Besar Indonesia di sini.Hadir sama Atase Ketagakerjaan, Agus Triyanto dan Pengerusi Saidha, Sabariah AbdullahPada majlis tersebut Mama diwakili Presidennya, Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein menyerahkan cek bernilai RM 15,000 kepada keluarga Isti Komariah yang meninggal dunia akibat didera majikannya baru-baru ini.Dalam pada itu, Mulya berkata pemerintah Indonesia sentiasa menyambut baik usaha yang dijalankan seperti yang dilakukan oleh pertubuhan bukan kerajaann (NGO) seperti Saidha dan Mama bagi melindungi hak majikan dan pembantu rumah Indonesia.“Kami di pihak kedutaan menyambut baik kerjasama ini," katanya.Mengulas mengenai Helper, Sabariah berkata, program berkenaan merangkumi latihan kepada amah, sesi penerangan kepada majikan, aktiviti pemantauan kegananasan terhadap amah serta sistem kewangan khas bagi memastikan bayaran gaji dibuat secara konsisten oleh majikan.“Saidha sebagai pelaksana program Helper akan berfungsi sebagai penyelaras yang akan memastikan komunikasi antara kerajaan dan bukan kerajaan bagi memastikan program yang dirancang berjalan lancar.“Program Helper ini juga akan melaksanakan pengambilan insurans takaful kepada amah yang bekerja bagi mengelakkan majikan perlu menanggung kos perubatan yang disebabkan kemalangan ketika amah bekerja,” katanya.Katanya, Saidha juga akan menyediakan talian hotline bagi membolehkan orang ramai boleh membuat aduan kes penderaan amah.“Selepas menerima laporan daripada pengadu, kita akan membuat lawatan ke rumah majikan yang disyaki. Dalam hal ini, kita akan mendapatkan kerjasama daripada pihak polis dalam menangani aduan-aduan ini nanti,.“Kita jangka program ini akan dilaksanakan paling cepat dalam tempoh 30 hari dan paling lewat pun dalam tempoh 60 hari, ” katanya.Bukan itu sahaja, program Helper ini akan dilaksanakan secara percuma kepada amah dan majikan, jelasnya.Dalam perkembangan berkaitan Mulya turut mengesahkan jenazah Isti, 26, yang merupakan pembantu rumah yang meninggal dunia kerana didera oleh majikannya telah selamat dikebumikan di kampung halamannya.Ahad lalu, Isti meninggal dunia dipercayai akibat didera majikannya di Sea Park, Petaling Jaya.Berikutan kejadian itu, polis menahan reman pasangan suami isteri berusia 56 dan 53 tahun bagi membantu siasatan.