KUALA LUMPUR: Sebanyak 198 laman web rasmi kerajaan telah digodam sehingga kini dengan 90 peratus penggodamnya dari dalam negara, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.Beliau percaya tindakan itu bermotifkan politik dan bertujuan cuba melakukan sabotaj ke atas kerajaan. Tambahnya, serangan terhadap laman web kerajaan itu jelas membuktikan bahawa ia dilakukan semata-mata untuk menyusahkan rakyat dengan menyulitkan urusan harian rakyat dengan kerajaan, dan bukannya menyusahkan pihak kerajaan."Sebagai contoh, sekiranya laman web agensi kerajaan yang menguruskan urusan tanah digodam maka urusan tanah akan terbengkalai. Sama juga dalam urusan perbankan dan sebagainya, maka serangan siber yang aneh dan menyedihkan ini adalah bermotifkan politik," katanya pada sidang berita di sini, hari ini.Rais berkata, kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang kepada pengodam yang tidak bertanggungjawab itu, dan menyarankan mereka yang terbabit supaya mempunyai sikap sayang kepada negara dan jangan melakukannnya kerana "marahkan nyamuk, kelambu dibakar".Rais juga percaya serangan itu ada kaitan dengan penganjuran perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak pada 9 Julai ini, serta dilihat sebagai satu perbuatan yang tidak patriotik kepada negara.Beliau memberi jaminan bahawa serangan siber itu hanya bersifat sementara sahaja, dan ia tidak akan mengakibatkan kelumpuhan keseluruhan sistem laman web yang digodam. Ketika ditanya sama ada serangan siber itu akan menjejaskan keselamatan negara, Rais berkata ia boleh berlaku jika dibiarkan.Bagaimanapun, katanya, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta agensi-agensi yang bertanggungjawab mengenai keselamatan telah bersiap sedia dan sedang menyelesaikan masalah tersebut kerana ia adalah masalah yang serius.Menyentuh mengenai mesyuarat mingguan jemaah menteri, Jumaat, Rais berkata jemaah menteri telah membincangkan pelbagai isu berkaitan keselamatan siber dan kes-kes yang dianggap sebagai berprofil tinggi seperti menghina agama Islam, hasutan terhadap kaum dan mencerca dan memperkecilkan Raja-Raja Melayu.Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan telah meminta Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), SKMM dan lain-lain agensi kerajaan untuk bergabung tenaga agar dapat mengumpulkan bukti menerusi pengumpulan data untuk melakukan pendakwaan kelak.