Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor mengumumkan pertunangan anak perempuan mereka Nooryana Najwa Najib, 22, dengan Daniyar Nazarbayev, 22, yang diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri di sini, Jumaatmalam. Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nurzahirah serta Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Pahang Hajah Kalsom berkenan mencemar duli berangkat ke majlis tersebut. Kelihatan Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan bersalaman dengan Nooryana Najwa. -Foto BERNAMA KUALA LUMPUR: Nooryana Najwa, anak perempuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor, secara rasmi bertunang dengan Daniyar Nazarbayev dalam satu majlis di Seri Perdana, Putrajaya Jumaat malam.Majlis pertunangan pasangan itu diserikan dengan kehadiran keluarga serta rakan mereka, selain orang kenamaan dari Malaysia dan luar negara. Antaranya, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah; Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Hajah Kalsom; Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah dan Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah.Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Tun Abdullah Badawi, menteri kabinet, timbalan menteri serta pegawai kanan kerajaan pusat dan negeri.Hadir sama ibu Najib, Tun Hajah Rahah Tan Sri Mohamad Noah.Kenamaan asing yang turut hadir termasuk Putera Mahkota Abu Dhabi Jeneral Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan dan isteri Sheikha Salam binti Hamdan Al Nahyan, serta Pengerusi Medina Council Putera Saud bin Abdulaziz Al-Saud.Nooryana Najwa, 22, merupakan lulusan School of Foreign Service, Universiti Georgetown, Amerika Syarikat sementara Daniyar, 22, menamatkan pengajian di Universiti Columbia, New York.Pasangan itu bertemu ketika menuntut di AS. -BERNAMA