suria

18,000 Pembantu Rumah Asing Lari Daripada Majikan

KUALA LUMPUR: Seramai 18,716 pembantu rumah asing dilaporkan lari daripada majikan mereka sehingga Disember tahun lepas, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata daripada jumlah itu, 17,205 orang atau 92.3 peratus adalah pembantu rumah dari negara sumber Indonesia.

Bilangan pembantu rumah asing di Malaysia sehingga Disember 2010 adalah 247,069 orang, dan 76.7 peratus daripadanya adalah dari Indonesia, katanya menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut).

Maznah berkata kerajaan telah mengambil beberapa tindakan untuk menangani isu berkenaan termasuk menandatangani Protokol Pindaan Terhadap Memorandum Persefahaman antara Malaysia dan Indonesia mengenai isu penggajian pembantu rumah asing Indonesia di Bandung pada 30 Mei lepas.

"Protokol ini dapat memberikan perlindungan sewajarnya kepada majikan di Malaysia yang menggajikan pembantu rumah Indonesia dan pada masa yang sama turut memastikan kebajikan pembantu rumah terpelihara," katanya.

Berdasarkan Protokol berkenaan seseorang majikan berhak untuk mendapat penggantian pembantu rumah sekiranya pembantu rumah yang digaji melarikan diri dalam tempoh enam bulan penggajian.

Maznah berkata sistem biometrik yang dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri mulai 1 Jun lepas dapat mengesan pembantu rumah yang lari daripada majikan sekiranya mereka memohon untuk bekerja dengan majikan lain.

Katanya, Jabatan Tenaga Kerja menganjurkan seminar dan dialog mengenai pembantu rumah asing pada setiap bulan di seluruh negara.

Sejak Mac 2010, sebanyak 89 seminar dan dialog telah diadakan dan dihadiri oleh 1,869 majikan, 1,650 pembantu rumah asing dan 365 agensi pekerjaan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain