PARIS: Konsortium Airbus yang dimiliki oleh pelbagai negara Eropah berjaya memeteraikan tempahan pelbagai jenis model pesawatnya sehingga AS$72 bilion mengatasi apa yang dapat dilakukan oleh Boeing milik Amerika, pada Pertunjukkan Udara Paris yang baru tamat di sini."Ia adalah tempahan terbesar dalam sejarah Airbus pada mana-mana pertunjukan udara," kata Pengerusinya, Thomas Enders. Beliau mengesahkan AirAsia - syarikat penerbangan tambang murah milik Malaysia - turut mencatat sejarah sebagai syarikat penerbangan yang paling tinggi membuat tempahan iaitu sehingga 200 buah pesawat dari jenis A320neo yang mampu menjimatkan minyak sehingga 15% berbanding model yang hampir sama yang dikeluarkan oleh pesaingnya.Tempahan yang dibuat oleh AirAsia itu menjadikan tempahan keseluruhan model-model Airbus kepada 730 buah pesawat pada sepanjang pertunjukkan udara itu.Daripada jumlah tersebut, 701 buah pesawat yang ditempah adalah untuk model A320 yang terbukti merupakan model paling laris dan paling dikehendaki oleh pelbagai syarikat penerbangan dunia.Model A320 boleh membawa antara 150 hingga 180 penumpang bergantung kepada rekabentuk kabin yang ditempah oleh syarikat penerbangan.Ekoran daripada tempahan yang dibuat oleh AirAsia itu, saham Airbus telah melonjak sebanyak dua peratus.Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tony Fernandes turut hadir ketika pengumuman oleh Airbus itu dibuat - yang menyaksikan syarikat penerbangan itu menandatangani perjanjian untuk membeli 200 buah pesawat A320neo pada harga AS$18.2 bilion."Ia adalah tempahan terbesar dari segi jumlah pesawat dalam sejarah Airbus oleh sebuah syarikat penerbangan," kata Enders dalam sidang akhbar tersebut.Para pemerhati industri penerbangan turut menyifatkan tempahan tersebut adalah yang terbesar yang pernah dibuat ke atas pesawat komersial bagi sebuah syarikat penerbangan untuk satu jenis model.Malah tempahan itu juga menjadikan AirAsia sebagai pelanggan terbesar Airbus dengan jumlah keseluruhan tempahan pesawat kepada 375 buah manakala 89 pesawat lagi sudahpun dalam perkhidmatan.Secara kontrasnya, pesaing Airbus, iaitu Boeing gagal menandingi jualan dan tempahan yang dibuat oleh lawannya itu walaupun turut memperkenalkan model baru yang serba moden dan canggih 787 Dreamliner dan juga versi baru Jumbo 747 yang lebih panjang dan besar pada pertunjukkan udara ini.Sejak Januari tahun ini, Airbus telah menerima 725 tempahan pasti untuk pelbagai model keluarannya manakala Boeing mencatatkan 195 jualan.Dan pelbagai pihak melihat, kunci kejayaan Airbus terletak pada model bersaiz kecilnya iaitu A320 - yang kini muncul dengan versi "neo" atau "New Engine Option" yang menawarkan penjimatan penggunaan tenaga bakar sehingga 15 peratus berbanding model lain yang sama angkatan dengannya."Saya terpaksa akui, kami telah memandang rendah apa yang dapat ditawarkan oleh model kecil ini dan permintaan pasaran untuk Neo sebelum pertunjukkan udara ini," kata Enders lagi.Dengan harga minyak dunia melepasi paras AS $100 se tong, pencarian ke atas pesawat yang dapat menjimatkan minyak menjadi faktor penentu kepada mana-mana syarikat penerbangan dunia.Dan kemunculan A320neo adalah tepat pada masanya.