PEKAN: Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan ahli Umno agar berpegang kepada tiga prinsip transformasi politik iaitu calon yang boleh menang, sifar masalah dalaman dan bersikap inklusif dalam usaha mencapai kejayaan pada pilihan raya umum akan datang.Perdana Menteri berkata setiap ahli Umno perlu menyokong pemilihan calon yang boleh menang kerana ia dibuat secara objektif dan berlandaskan pilihan rakyat. "Saya tidak ada orang nak dikatakan anak emas, anak perak atau gangsa. Saya cuma ada keluarga dan rakan seperjuangan dan saya tetap hargai rakan... apakan daya kalau gagal dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditentukan dan katalah kalau nak dipilih, KPI mestilah dipenuhi dan ia di tangan pengundi," katanya dalam ucapan penangguhan persidangan perwakilan Umno bahagian Pekan di sini, Ahad.Beliau berkata Umno juga perlu menjurus kepada sifar masalah dalaman yang boleh menjadi duri dalam daging kepada parti itu.Katanya mereka yang tidak terpilih sebagai calon atau tidak mendapat sesuatu yang diidamkan sepatutnya tidak berasa kecil hati sebaliknya menterjemahkan sokongan kepada calon pilihan parti."Janganlah disebabkan tidak dapat sesuatu, kita rasa tawar hati dan buat sesuatu yang boleh merugikan parti," katanya.Selain itu, Najib berkata anggota Umno perlu bersikap inklusif dengan memberikan perhatian kepada semua rakyat dan bukannya terhadap ahli Umno sahaja. "Sebagai contoh di Pekan, 42 peratus pengundi merupakan ahli Umno dan kalau setiap ahli keluar mengundi sekalipun, ia masih tidak cukup untuk menang... kita perlukan setiap pengundi," katanya.Katanya anggota Umno perlu bersikap adil, berbudi, berhemah dan bersikap rendah diri demi memenangi hati rakyat. - BERNAMA